gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, AHAD, 8 FEBRUARI 2026. – Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Majlis Perundingan Mukim Kiudang dan Persatuan Pengakap Daerah Tutong mengadakan Majlis Penutup Program Ukhuwah Fillah Belia berlangsung di Masjid Pengiran Muda Abdul Wakeel, Kampung Kiudang, Daerah Tutong.

Program dua hari satu malam ini disertai oleh seramai 30 orang yang terdiri daripada golongan belia Daerah Tutong, Persatuan Pengakap Daerah Tutong, Ahli Takmir Masjid dan Mukim Kiudang.

Pelaksanaan program yang juga bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-42 dan menjelangnya bulan Ramadan ini antaranya bertujuan untuk mengeratkan silaturahim, persaudaraan dan ukhuwah dalam kalangan belia, di samping untuk memantapkan jati diri dan membentuk akhlak mulia mereka melalui pendekatan Islam syumul.​

Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan sesi penyampaian sijil penyertaan dan penghargaan kepada para peserta ialah Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Awang Muhammad Walid Wathiq bin Awang Kharol Azmi, dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ketua Cawangan Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong, Dayang Amhra Farahiyah binti Haji Mohd. Hamdilah.

Majlis diteruskan dengan ucapan daripada wakil peserta perkhemahan yang terdiri daripada Awang Muhammad Muizadin bin Muhad Muzaine dan Dayangku Syaza Bazilah binti Pengiran Sufri.

Persembahan daripada para peserta program juga menjadi penyeri pengisian majlis tersebut. Kemuncak majlis ialah sesi penyampaian sijil kepada peserta-peserta program perkhemahan sebelum diteruskan dengan bergambar ramai.

Sepanjang program ini, para peserta antaranya berpeluang mengikuti taklimat mengenai menghayati bendera dan lagu kebangsaan NBD dari pihak Jabatan Penerangan Cawangan Daerah Tutong, sesi motivasi dengan pengisian kesihatan mental dan anti-buli yang disampaikan oleh Penolong Kaunselor Penjara, Awang Fariszal bin Ali. Juga diadakan, aktiviti bergotong-royong, aktiviti qiamullail dan aktiviti Jungle Trekking bagi menyusuri keindahan alam semula jadi.

Dengan penganjuran program sedemikian, ia juga dihasrat untuk membina semangat kepimpinan kalangan belia yang berkualiti melalui sesi motivasi dan juga untuk meningkatkan ketahanan fizikal dan mental belia.