Your Title Goes Here
TUTONG, Sabtu, 6 Disember 2025 – Acara Pesta Kanakan Jati (Pesta Makanan Kitani) anjuran Majlis Perundingan Mukim Telisai serta Majlis-Majlis Perundingan Kampung (MPK) di bawah Mukim Telisai telah berlangsung dengan meriahnya di Kawasan Jeti Kampung Danau, Tutong, sempena memeriahkan Brunei December Festival (BDF) 2025 yang kini berlangsung di seluruh negara.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara tersebut ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, yang turut menyaksikan Perarakan Berhias dan Tanglong Berjalan Kaki, sebelum seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para peserta dan pemenang yang terlibat.
Pesta Kanakan Jati merupakan salah satu pengisian komuniti di peringkat mukim dalam mendukung pelaksanaan Brunei December Festival 2025, dengan tujuan menyemarakkan suasana hujung tahun melalui aktiviti yang menggalakkan penyertaan masyarakat setempat. Selain menjadi wadah memperkukuh hubungan silaturrahim dan perpaduan, penganjuran ini turut mendorong penyertaan aktif penduduk kampung dalam aktiviti sosial dan keusahawanan.
Selain itu, acara ini menyediakan platform kepada para pengusaha dan penduduk mukim untuk mengetengahkan produk makanan tempatan, hasil kreativiti serta inisiatif keusahawanan, sekali gus menyumbang kepada usaha meningkatkan perekonomian setempat melalui pendedahan yang lebih luas kepada para pengunjung.
Penganjuran acara di bawah Brunei December Festival seperti ini diharapkan dapat terus menyokong usaha pembangunan komuniti, memperkukuh jaringan kerjasama antara MPK, penduduk kampung dan agensi-agensi berkaitan, serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat mukim secara menyeluruh.