TUTONG, Sabtu, 6 Disember. – Brunei Nature Society (BNS) meraikan Sambutan 50 Tahun Penubuhannya selama dua hari bermula hari ini.
Ulang Tahun Ke-50 ini menandakan setengah abad usaha kesedaran pemuliharaan dan kajian alam semula jadi di Negara Brunei Darussalam iaitu satu pencapaian penting bagi pencinta alam sekitar.
Acara sambutan berlangsung di Alai Gayoh Nak Pulau, The Brunei Dusun Traditional House, Kampung Bukit Udal di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Terdahulu ahli-ahli persatuan dan peserta menyertai acara berjalan kaki di hutan sekitar kawasan tersebut. Acara juga diserikan dengan tarian Brunei Dusun Beats and Folks.
BNS bertujuan meningkatkan pemahaman serta penghargaan terhadap warisan alam Brunei dan hutan, hidupan liar, burung, flora dan fauna melalui program pendidikan, lawatan lapangan, pelaporan biodiversiti dan penglibatan awam.