gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, Ahad, 14 Disember 2025 – Pertandingan Tarik Kalat Daerah Tutong sempena 9th Brunei Disember Festival 2025 telah melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Disember 2025 bertempat di Kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.

Acara penutup pertandingan tersebut dikendalikan oleh Tutong Tuggers dengan sokongan Jabatan Daerah Tutong dan telah disempurnakan dengan kehadiran Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, Ahli Majlis Mesyuarat Negara merangkap Penghulu Mukim Ukong, selaku tetamu kehormat. Yang Berhormat turut menyaksikan perlawanan akhir serta berkenan menyampaikan hadiah kepada pasukan-pasukan pemenang.

Sebanyak 20 pasukan telah mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan yang melibatkan penyertaan daripada kementerian-kementerian, jabatan-jabatan, persatuan-persatuan sukan, mukim-mukim dan kampung-kampung di Negara Brunei Darussalam. Penyertaan ini mencerminkan sambutan menggalakkan serta komitmen pelbagai pihak dalam memartabatkan sukan tradisi negara.

Dalam Kategori Berat 680 kilogram, gelaran johan telah dimenangi oleh Pasukan JPM yang membawa pulang piala, sijil penyertaan dan hadiah wang tunai berjumlah $1,000.00. Tempat naib johan pula disandang oleh Pasukan Chainblock dengan hadiah piala, sijil penyertaan serta wang tunai $800.00. Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Bantaiyan yang menerima piala, sijil penyertaan dan wang tunai $600.00, manakala tempat keempat diraih oleh Pasukan Budiman Tuggers yang menerima piala,sijil penyertaan dan wang tunai $400.00.

Bagi Kategori Ringan 560 kilogram, Pasukan Bearhill telah muncul sebagai johan dengan membawa pulang piala, sijil penyertaan dan hadiah wang tunai berjumlah $1,000.00. Tempat naib johan dimenangi oleh Pasukan KB Bull Brothers yang menerima piala, sijil penyertaan serta wang tunai $800.00. Tempat ketiga menjadi milik Pasukan SPSS Tuggers dengan hadiah piala, sijil penyertaan dan wang tunai $600.00, manakala tempat keempat disandang oleh Pasukan MS ABDB yang menerima piala, sijil penyertaan dan wang tunai $400.00.

Pada tahun ini, dua kategori telah dipertandingkan iaitu Kategori Berat (680 kilogram) dan Kategori Ringan (560 kilogram). Pertandingan telah dijalankan secara pukul keliling (round robin) bagi memastikan pelaksanaan pertandingan yang adil dan tersusun.

Penganjuran pertandingan ini selaras dengan pelaksanaan 9th Brunei December Festival 2025 yang bertujuan mengimarahkan aktiviti kemasyarakatan, di samping memperkukuhkan usaha mempromosikan Daerah Tutong sebagai salah satu destinasi pelancongan dengan mengetengahkan sukan tradisi sebagai warisan budaya negara.

Dengan berakhirnya pertandingan ini, diharapkan agar penganjuran seumpama ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa sebagai platform memperkasa sukan tradisi, menggalakkan penyertaan masyarakat serta memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan penduduk setempat.