TUTONG, SELASA, 27 JANUARI 2026 – Kejohanan Bola Sepak 9 Orang Sepasukan sempena Sambutan Hari Polis Ke-105 Tahun telah berlangsung di Padang Kompleks Sukan Tutong, anjuran Daerah Polis Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad, yang turut menyaksikan perlawanan akhir dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Turut hadir, ketua-ketua jabatan agensi penguatkuasa undang-undang.
Sebanyak tujuh pasukan telah mengambil bahagian pada kejohanan berkenaan, melibatkan penyertaan daripada jabatan-jabatan dan agensi-agensi penguatkuasaan kerajaan, antaranya Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), Biro Kawalan Narkotik (BKN), Pengawasan Kejiranan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Jabatan Penjara, serta Jabatan Kehakiman Negara.
Dalam kejohanan berkenaan, Jabatan Penjara muncul juara dan membawa pulang piala serta sijil penyertaan. Manakala, naib juara pula disandang oleh JKDN, sementara tempat ketiga dimenangi oleh JBP. Sementara, pemenang tempat keempat pula diraih oleh BKN.
Kesemua pasukan pemenang telah menerima piala dan sijil penyertaan mengikut kedudukan masing-masing.
Penganjuran kejohanan berkenaan bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang serta PPDB, di samping mencungkil bakat baharu dalam bidang sukan.
Kejohanan berkenaan juga diharap dapat menyemai semangat kesukanan, persaingan sihat, perpaduan serta kerjasama demi pembangunan dan kemajuan sukan dalam PPDB amnya, dan Badan Kebajikan dan Sukan Daerah Polis Tutong khususnya.