Your Title Goes Here
TUTONG, Khamis, 12 Mac 2026 – Seramai 16 orang penerima yang terdiri daripada kakitangan dan bekas kakitangan Jabatan Daerah Tutong telah menerima sumbangan barangan asasi melalui Program Infaq Ramadhan bagi Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Lobi Bangunan Jabatan Daerah Tutong.
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan infaq tersebut ialah Yang Mulia Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad, Penolong Pegawai Daerah Tutong bersama Yang Mulia Awang Haji Haizul Rizal bin Haji Yahya, Pegawai Tugas-Tugas Khas.
Program Infaq Ramadhan yang memasuki penganjuran kali ke-6 ini dikendalikan oleh Badan Keugamaan, Sukan dan Sosial (BKSS), Jabatan Daerah Tutong sebagai salah satu aktiviti kemasyarakatan sempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak 1447 Hijrah, di samping menjadi pengisian aktiviti keugamaan jabatan. Program ini diadakan bertujuan untuk meringankan beban para penerima dalam membuat persiapan sepanjang bulan Ramadhan, di samping menyemai nilai keprihatinan, semangat bersedekah serta budaya saling bantu-membantu dalam kalangan warga jabatan. Selain itu, program ini juga dihasratkan dapat mengeratkan hubungan silaturrahim serta memupuk semangat perpaduan dan kebajikan dalam kalangan kakitangan dan bekas kakitangan Jabatan Daerah Tutong.
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih dirakamkan kepada seluruh warga Jabatan Daerah Tutong yang telah memberikan sokongan serta menyumbangkan infaq bagi menjayakan Program Infaq Ramadhan bagi Tahun 1447H/2026M. Diharapkan setiap sumbangan yang dihulurkan akan dikira sebagai amal jariah yang berterusan ganjarannya daripada Allah Subhanahu wa Ta’ala hingga ke akhirat. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.