Your Title Goes Here
TUTONG, Jumaat 13 Mac 2026 – Majlis Tahlil dan Doa Arwah Sekampung yang diselajurkan dengan Majlis Berbuka Puasa serta Penyampaian Derma Anak-Anak Yatim dan Sumbangan Barang-Barang Asasi kepada penduduk kampung yang kurang berkemampuan telah diadakan di Kawasan Balai Raya Kampung Tasek Merimbun, Mukim Rambai, Daerah Tutong. Majlis tersebut dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung Merimbun dan Kuala Ungar bagi Tahun 1447H/2026M sebagai salah satu aktiviti tahunan sempena bulan Ramadan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah Sekampung yang dipimpin oleh Yang Mulia Awang Muhammad Eddie Ikhwan bin Muhammad Eddie Suffian selaku wakil Biro Keagamaan Majlis Perundingan Kampung berkenaan yang dikhususkan kepada ahli-ahli keluarga dan penduduk kampung yang telah kembali ke rahmatullah di samping memupuk semangat kebersamaan serta memperkukuhkan ukhuwah Islamiah dalam kalangan penduduk kampung.
Hadir selaku Tetamu Kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian derma dan sumbangan kepada para penerima sebagai tanda sokongan dan keprihatinan pihak pentadbiran daerah terhadap masyarakat setempat.
Seramai 13 orang anak yatim telah menerima sumbangan derma, manakala 12 orang penduduk kampung yang kurang berkemampuan telah menerima sumbangan barang-barang asasi bagi membantu meringankan perbelanjaan harian mereka, khususnya sepanjang bulan Ramadan. Sumbangan yang dihulurkan diharap dapat meringankan beban penerima serta menceriakan persiapan mereka dalam menjalani ibadah puasa.
Majlis kemudian diteruskan dengan berbuka puasa beramai-ramai yang turut dihadiri oleh ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung, pemimpin-pemimpin masyarakat serta penduduk kampung dalam suasana penuh harmoni dan muhibah, sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta memperkukuhkan perpaduan dalam komuniti kampung.