Your Title Goes Here
TUTONG, Sabtu 14 Mac 2026 – Majlis “Gerai Infaq Ramadhan” Anjuran Takmir Masjid Kampung Tanjong Maya Bersama Majlis Perundingan Kampung Tanjong Maya Dan Lubok Pulau Dengan Kerjasama Sekolah Rendah Lubok Pulau telah diadakan di kawasan letak kereta Masjid Kampung Tanjong Maya.
Hadir selaku Tetamu Kehormat Majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sumbangan Infaq Ramadhan kepada para penduduk kampung yang kurang berkemampuan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan. Sumbangan berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban perbelanjaan harian para penerima, khususnya dalam membuat persiapan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Majlis penyampaian tersebut juga mencerminkan semangat kebersamaan dan nilai kemasyarakatan dalam kalangan penduduk kampung, selaras dengan pengisian bulan suci Ramadhan yang menekankan amalan bersedekah dan saling membantu antara satu sama lain.
Acara tersebut merupakan satu aktiviti berkala berskala kecil yang bertujuan untuk menggalakkan budaya bersedekah serta menghidupkan semangat kebersamaan dalam bulan Ramadhan, di samping menyokong dan memupuk semangat keusahawanan dalam kalangan penduduk kampung.
Melalui program ini, juadah makanan disediakan oleh vendor-vendor kampung yang terpilih dan diagihkan secara percuma kepada orang ramai sebagai hidangan sungkai, khususnya kepada anak-anak yatim serta golongan yang memerlukan.
Para peserta dan pengunjung juga digalakkan untuk bersungkai bersama di Masjid Kampung Tanjong Maya bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat. Penyerahan infaq berupa makanan kepada golongan sasaran turut dilaksanakan selepas acara bersungkai.
Turut hadir ialah Pengerusi Bersama, Ketua Kampung Tanjong Maya dan Lubok Pulau dan Imam Masjid Kampung Tanjong Maya, serta Penghulu Mukim Tanjong Maya dan penduduk kampung di sekitarnya yang sama-sama memeriahkan acara berkenaan.
Penganjuran majlis ini diharap dapat menjadi platform untuk memperkukuhkan lagi semangat kerjasama, keprihatinan serta nilai-nilai kebajikan dalam kalangan masyarakat, di samping mengimarahkan bulan Ramadhan dengan amalan bersedekah dan berkongsi rezeki bersama mereka yang memerlukan.