Your Title Goes Here
TUTONG, Ahad, 15 Mac 2026 – Masjid Kampung Penapar telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang dikendalikan oleh Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Penapar bertempat di masjid berkenaan.
Hadir selaku Tetamu Khas majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong yang seterusnya menyempurnakan penyampaian derma kepada anak-anak yatim.
Majlis dimulakan dengan Bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Tetamu Khas, diikuti dengan Bacaan Khatam Al-Quran oleh para peserta yang terdiri daripada jemaah dan ahli-ahli takmir masjid yang telah sama-sama mengikuti tadarus sepanjang bulan Ramadhan.
Penganjuran majlis tersebut bertujuan untuk menyemarakkan lagi penghayatan bulan suci Ramadhan melalui amalan membaca dan menghayati Al-Quran, di samping mengeratkan hubungan silaturrahim antara jemaah masjid dan penduduk kampung. Selain itu, majlis ini juga diharap dapat memupuk semangat perpaduan serta menggalakkan masyarakat untuk terus mendekatkan diri kepada ajaran Islam.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim sebagai tanda keprihatinan dan sokongan masyarakat terhadap golongan yang memerlukan, khususnya dalam sama-sama berkongsi keberkatan bulan Ramadhan.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat bagi memohon keberkatan, kesejahteraan dan rahmat daripada Allah Subhanahu Wata’ala agar segala amalan yang dilaksanakan mendapat keberkatan serta ganjaran yang berlipat ganda.