Your Title Goes Here
TUTONG, SABTU, 23 MEI 2026 – Ke arah mendukung Wawasan Brunei 2035 bagi melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya, serta seterusnya menghargai usaha dan meraikan kejayaan para pelajar yang cemerlang dalam Peperiksaan Awam Tahun 2025, Ma’had Islam Brunei pagi tadi mengadakan Majlis Hafl Al-Takharruj dan Penyampaian Hadiah Pelajar Terbaik dan Cemerlang bertempat di Dewan Besar sekolah berkenaan.
Seramai 55 orang lepasan pelajar Ma’had Islam menerima sijil dan hadiah bagi Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB) dan Brunei-Cambridge GCE ‘O’ Level bagi Tahun 2025.
Majlis diselajurkan dengan penyampaian sijil dan hadiah kepada seramai 64 orang pelajar yang meraih kecemerlangan dalam Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), Peperiksaan Kemajuan Pelajar (SPE) dan Peperiksaan Akhir Tahun 2025.
Penyampaian sijil dan hadiah disempurnakan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Mulia Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah, Sayyidul Istighfar, dan Surah Al-Fatihah. Diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan dan lagu rasmi sekolah. Acara diserikan lagi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta pengajarannya. Seterusnya, ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dayang Sarimah binti Haji Ahmad, Pengetua Ma’had Islam Brunei.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Akademik serta penghargaan kepada tenaga-tenaga pengajar yang mencapai kecemerlangan dalam pengajaran.