Your Title Goes Here
TUTONG, Isnin, 1 Jun 2026 – Majlis Perundingan Kampung Ukong telah mengadakan Sambutan Adau Gayoh 2026 bertempat di Gelanggang Sukan Kampung Ukong, Tutong sebagai usaha memelihara dan mengetengahkan adat, budaya serta warisan masyarakat Dusun kepada generasi masa kini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya’akub, Ahli Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Ukong berserta isteri, seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi Pertandingan Baju Tercantik dan Pertandingan Guling Tangan.
Pelbagai aktiviti dan pertandingan berkonsepkan kebudayaan tradisi telah diadakan bagi memeriahkan sambutan tersebut, antaranya Pertandingan Penterjemahan Bahasa Dusun yang bertujuan memperkenalkan serta memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda dalam kalangan generasi muda agar tidak pupus ditelan zaman. Selain itu, Pertandingan Bermain Guling Tangan bagi kategori belia lelaki dan perempuan turut diadakan bagi mengetengahkan permainan tradisional masyarakat Dusun yang memerlukan kemahiran, ketangkasan serta semangat berpasukan dalam kalangan para peserta, malah turut menjadi medium untuk menghidupkan kembali permainan tradisional yang semakin jarang dimainkan dalam kalangan generasi muda masa kini.
Sambutan Adau Gayoh ini bukan sahaja menjadi platform bagi mengetengahkan keunikan budaya masyarakat Dusun, malah turut menggalakkan penglibatan belia dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebudayaan. Acara tersebut juga memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali dengan lebih dekat adat resam, permainan tradisional serta nilai warisan yang menjadi identiti masyarakat setempat.
Melalui penganjuran acara seumpama ini, pihak penganjur berharap warisan budaya masyarakat Dusun akan terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang, di samping mengukuhkan semangat perpaduan, kerjasama dan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung dan masyarakat sekitar.