gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, KHAMIS, 11 JUN 2026 – Majlis Pemantauan Memulakan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung dan Penuntut-penuntut Sekolah Seluruh Negara sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang Ke-80 bagi Tahun 2026 diadakan pada petang tadi, bermula selepas Sembahyang Fardu Asar Berjemaah bertempat di masjid-masjid terpilih di setiap daerah.

Majlis Pemantauan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran berkenaan adalah kesinambungan daripada Majlis Pelancaran Memulakan Bacaan Ayat-ayat Suci Al-Quran Majlis Khatam Al-Quran 80 Kali Khatam yang diadakan pada 2 April 2026 lalu di masjid-masjid terpilih di setiap daerah.

Bagi Daerah Tutong, majlis diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Pemantauan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dikepalai oleh tetamu kehormat majlis, Setiausaha Tetap, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

Terdahulu, acara dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin.

Disusuli dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat majlis.

Kemudian diikuti dengan Majlis Membaca Ayat-ayat Suci Al-Quran beramai-ramai secara persendirian dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

Para peserta terdiri dalam kalangan Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK), penuntut-penuntut sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi di keempat-empat daerah mengikut kategori dewasa lelaki dan dewasa wanita, termasuk peserta daripada Pertubuhan WARGAMAS, belia dan beliawanis berumur 13 tahun hingga 20 tahun yang terpilih dan mewakili mukim dan kampung.

Turut dilibat sama ialah penuntut-penuntut sekolah-sekolah Arab, iaitu Ma’had Islam Brunei dan Skim Tilawah Al-Quran Remaja dan Kanak-kanak Lelaki dan Perempuan yang berumur 12 tahun ke bawah yang mewakili sekolah-sekolah Arab, sekolah-sekolah ugama dan Skim Khatam Al-Quran di bawah umur 10 tahun serta penuntut-penuntut sekolah di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Kementerian Pendidikan termasuk institusi-institusi pengajian tinggi.

Hadir pada majlis berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, Ahli-ahli MPMK serta pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah, pegawai-pegawai ugama, bilal-bilal, dan ahli-ahli takmir masjid.