Your Title Goes Here
TUTONG, Ahad, 5 Julai 2026 – Majlis Perundingan Mukim Telisai telah menganjurkan Kejohanan Bolasepak 9 Orang Sepasukan Tahun 2026 yang berlangsung di Kompleks Sukan Cawangan Jabatan Belia dan Sukan Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan.
Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mukim Telisai dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, Persatuan Bolasepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA), Majlis-Majlis Perundingan Kampung di bawah Mukim Telisai serta mendapat sokongan daripada Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong.
Penganjuran kejohanan tersebut bertujuan untuk menyediakan platform yang sihat dan bermanfaat kepada golongan belia serta masyarakat setempat dalam mengisi masa lapang melalui penglibatan aktif dalam aktiviti sukan. Di samping itu, kejohanan ini juga menjadi medium untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama dalam kalangan penduduk kampung, khususnya di Mukim Telisai.
Selain itu, kejohanan ini turut menjadi wadah untuk mencungkil dan mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam bidang bolasepak di peringkat akar umbi. Melalui penglibatan dalam acara seperti ini, para peserta dapat memupuk nilai-nilai positif seperti disiplin, semangat kesukanan, daya saing yang sihat serta kerjasama berpasukan.
Kejohanan tersebut telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan sebanyak 15 pasukan, sekali gus mencerminkan komitmen dan sokongan padu masyarakat terhadap penganjuran aktiviti sukan dan riadah di peringkat mukim.
Gelaran johan kejohanan telah disandang oleh Pasukan Supastrikas FC, yang membawa pulang piala, pingat dan wang tunai berjumlah BND$500.00. Manakala naib johan pula dimenangi oleh Pasukan Mukim Keriam, yang menerima piala, pingat dan wang tunai berjumlah BND$300.00.
Sementara itu, tempat ketiga bersama menjadi milik Pasukan Kiudang Warriors dan Pasukan Echo 995, yang masing-masing menerima piala, pingat dan wang tunai berjumlah BND$200.00. Kesemua hadiah telah disampaikan oleh tetamu kehormat majlis sebagai penghargaan atas pencapaian serta semangat kesukanan yang ditunjukkan sepanjang kejohanan berlangsung.
Penganjuran kejohanan seumpama ini diharap akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang sebagai salah satu usaha berterusan dalam menggalakkan penglibatan aktif belia dalam aktiviti yang berfaedah, di samping memperkukuhkan semangat perpaduan, kerjasama serta kesejahteraan masyarakat selaras dengan aspirasi pembangunan komuniti yang mampan di Daerah Tutong.