Your Title Goes Here
TUTONG, Sabtu, 25 Julai 2026 – Acara Live Bersama BEATSFERA telah diadakan di Kawasan Lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong sebagai salah satu pengisian Pentas Perayaan Daerah Tutong bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Acara dimulakan dengan persembahan pembukaan oleh Band Belia Daerah Tutong, Stereo Hati, yang mempersembahkan empat buah lagu. Seterusnya, kumpulan BEATSFERA mengambil pentas dengan menyampaikan rangkaian lagu-lagu popular era 1970-an dan 1980-an, sekali gus mengimbau nostalgia dalam kalangan para pengunjung. Persembahan yang bertenaga dan menghiburkan itu berjaya mewujudkan suasana yang meriah serta mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang hadir.
Penganjuran acara tersebut bukan sahaja menyediakan platform hiburan yang sihat kepada masyarakat, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk serta menyemarakkan lagi sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun di Daerah Tutong.
Pentas Perayaan Daerah Tutong akan diteruskan dengan pelbagai aktiviti, termasuk persembahan kebudayaan, hiburan, keagamaan dan kemasyarakatan sehingga 8 Ogos 2026, sekali gus memberikan peluang kepada orang ramai untuk terus bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan.