Your Title Goes Here
TUTONG, Isnin, 27 Julai 2026 – Jabatan Daerah Tutong telah menerima lawatan rombongan daripada Universitas Kutai Kartanegara Tenggarong, Samarinda, Republik Indonesia yang berlangsung di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Rombongan yang terdiri daripada tujuh orang tenaga pengajar universiti tersebut mengadakan lawatan rasmi ke Daerah Tutong sebagai sebahagian daripada program pertukaran ilmu, jalinan kerjasama serta pendedahan kepada pembangunan komuniti dan kebajikan masyarakat di negara ini.
Hadir bagi mengalu-alukan ketibaan rombongan ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong. Turut hadir ialah Ketua Kampung Keriam serta ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Keriam.
Sepanjang lawatan, rombongan dijadualkan mengadakan kunjungan ke Kampung Keriam bagi meninjau inisiatif pembangunan dan penglibatan komuniti di kampung berkenaan. Lawatan kemudiannya diteruskan ke Pusat Bahagia Tutong bagi memberikan pendedahan mengenai peranan pusat tersebut dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan, pemulihan dan pembangunan individu berkeperluan khas.
Lawatan ini dihasratkan dapat memperkukuhkan hubungan dua hala, menggalakkan perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam pembangunan masyarakat serta membuka ruang kepada kerjasama yang lebih erat antara institusi pendidikan tinggi dengan komuniti di kedua-dua negara pada masa hadapan.