gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, Rabu, 26 Ogos 2026 – Acara Pembukaan Tutong Food Festival 2026 telah diadakan di Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong yang seterusnya menyempurnakan pelancaran Tutong Food Festival 2026.

Turut hadir ialah Yang Mulia Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad, Penolong Pegawai Daerah Tutong Negara, para Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung di Daerah Tutong.

Tutong Food Festival 2026 diadakan selama lima hari, bermula pada 26 hingga 30 Ogos 2026, dengan penyertaan sebanyak 70 vendor yang terdiri daripada pengusaha tempatan.

Penganjuran Tutong Food Festival 2026 merupakan salah satu platform bagi menyokong dan memperkasa pengusaha tempatan, khususnya dalam bidang makanan dan minuman, dengan memberikan ruang kepada para vendor untuk mengetengahkan, mempromosikan dan memperkenalkan produk serta hasil perusahaan masing-masing kepada masyarakat secara lebih meluas.

Selain itu, festival berkenaan turut bertujuan membuka peluang kepada para pengusaha tempatan untuk mengembangkan jaringan perniagaan, memperluaskan pasaran serta meningkatkan potensi jualan melalui interaksi secara langsung dengan para pengunjung. Platform seumpama ini juga memberikan peluang kepada para vendor untuk memperkenalkan produk-produk baharu serta mengetengahkan kreativiti dan keunikan hasil perusahaan tempatan.

Penganjuran festival ini juga mencerminkan usaha dalam menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan perusahaan tempatan, di samping memupuk semangat keusahawanan serta meningkatkan daya saing dalam kalangan pengusaha.

Dalam masa yang sama, Tutong Food Festival 2026 turut bertujuan menggalakkan masyarakat untuk memberikan sokongan kepada produk dan hasil perusahaan tempatan, selaras dengan usaha memperkukuh ekosistem perniagaan tempatan.

Festival tersebut juga menjadi salah satu wadah bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat melalui penglibatan orang ramai dalam suasana yang harmoni dan meriah bersama keluarga serta rakan-rakan.

Dengan penyertaan 70 vendor tempatan, Tutong Food Festival 2026 menawarkan pelbagai pilihan makanan dan minuman kepada para pengunjung sepanjang tempoh penganjurannya. Festival berkenaan diharap dapat memberikan manfaat kepada para pengusaha dan masyarakat, di samping menyumbang kepada pengukuhan aktiviti ekonomi, keusahawanan dan kemasyarakatan di Daerah Tutong.