Your Title Goes Here
TUTONG, Sabtu, 29 Ogos 2026 – Daerah Tutong diserikan dengan pertunjukan cahaya melibatkan sebanyak 800 dron yang menerangi langit Daerah Tutong sempena Imagine Drone Light Show Tour.
Inisiatif berkenaan dianjurkan oleh Imagine Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam dan Hengyi Industries.
Pertunjukan cahaya tersebut menampilkan pelbagai animasi dan formasi udara yang menggambarkan nilai perpaduan, ketahanan, identiti budaya serta aspirasi masa depan Negara Brunei Darussalam. Selain menjadi salah satu tarikan utama kepada orang ramai, pertunjukan berkenaan turut diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.
Penganjuran pertunjukan cahaya tersebut turut mencerminkan jalinan persahabatan dan kerjasama yang erat antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang teknologi, kebudayaan dan aktiviti kemasyarakatan, di samping memperkayakan lagi pengisian acara di peringkat daerah.
Pada masa yang sama, kerjasama yang terjalin melalui pertunjukan cahaya tersebut akan dapat terus memperkukuh lagi hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China, serta memperkasa dan mempelbagaikan lagi aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan di negara ini.
Diantara yang hadir menyaksikan pertunjukan dron berkenaan ialah Tuan Yang Terutama Chen Shaochun Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Majlis juga diselajurkan dengan Penyampaian Hadiah kepada para pemenang bagi acara-acara pertandingan yang diadakan semasa Pesta Perayaan Pekan Tutong 2026 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-80 Tahun 2026 bertempat di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.