Your Title Goes Here
TUTONG, ISNIN, 2 NOVEMBER 2026 – Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Daerah Tutong Bagi Sukan Kebangsaan Brunei Darussalam Ke-V, Tahun 2026 (SKBD Ke-V, Tahun 2026) telah diadakan di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Hadir bagi menyempurnakan penyerahan berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Pada majlis berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Tutong telah menyampaikan bendera kontinjen kepada Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Awang Mohammad Adi Asnawi bin Haji Awang Adanan, selaku ketua kontinjen.
Sejurus selepas menerima bendera berkenaan, ketua kontinjen seterusnya menyerahkan bendera tersebut kepada pembawa bendera, iaitu Dayang Nur Asyifa Shabeqah binti Masli, atlet pesilat yang telah meraih pingat emas di Labuan International Sea Championship pada April 2026, pingat emas dan Piala Pesilat Terbaik Wanita di Pertandingan Antara Skim Peringkat Kebangsaan pada Jun 2026, pingat gangsa di Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 pada Ogos 2026 dan berjaya meraih pingat emas di Pertandingan Silat Hari Keputeraan Peringkat Kebangsaan pada September 2026.
Pada majlis berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Tutong turut menyerahkan surat-surat penghargaan kepada para penaja kontinjen Daerah Tutong.
SKBD Ke-V, Tahun 2026 akan diadakan dari 7 hingga 14 November 2026. Daerah Tutong akan menghantar seramai lebih 200 atlet dan petugas termasuk pengurus dan jurulatih semasa sukan berkenaan diadakan.
Kontinjen Daerah Tutong akan menyertai kesemua 10 acara yang dipertandingkan iaitu akuatik, badminton, bola sepak, futsal, karate, olahraga, bola jaring, pencak silat, sepak takraw dan tarik kalat.
Turut hadir pada majlis berkenaan, Penolong-penolong Ketua Pasukan Daerah Tutong, pengurus-pengurus pasukan, para penaja serta atlet-atlet yang menyertai SKBD Ke-V, Tahun 2026 dan juga pegawai-pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong serta Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong.
SKBD berkenaan adalah anjuran Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, dan ia dikelolakan oleh persatuan-persatuan sukan di negara ini.
Selain itu, ia merupakan temasya sukan peringkat kebangsaan yang dianjurkan sebagai wadah bagi menghimpunkan para atlet dari seluruh negara untuk bersaing dalam pelbagai acara sukan.
Penganjuran SKBD Ke-V, Tahun 2026 meneruskan kesinambungan usaha pembangunan sukan negara dengan menyediakan platform pertandingan yang kompetitif, memperkukuh semangat kesukanan dan perpaduan serta melahirkan para atlet berpotensi untuk mewakili Negara Brunei Darussalam di kejohanan serantau dan antarabangsa.