TUTONG, 30 DISEMBER 2024 - Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan-Jabatan Daerah telah menganjurkan Program Bantuan Amal Kembali Ke Sekolah di keempat-empat daerah secara serentak.
Program ini diadakan dengan tujuan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan anak-anak yatim dan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dalam membuat persediaan persekolahan menjelang tahun 2025 nanti.
Hadir selaku wakil Kementerian di Daerah Brunei dan Muara ialah Yang Mulia Awang Salminan bin Haji Burut, Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Yang Mulia Awang Abdul Walid bin Haji Matassan, Setiausaha Tetap (Perbandaran dan Daerah) di Daerah Belait; Yang Mulia Dayang Nor Hamidah binti Haji Hamidon, Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di Daerah Tutong; dan Yang Mulia Awang Muhammad Saufi bin Awang Haji Ibrahim, Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Perundangan, Antarabangsa dan Penyelidikan) di Daerah Temburong.
Turut hadir ialah Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung yang terdiri dari kalangan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Mulia Pemangku-pemangku Pegawai Daerah, Penghulu-Penghulu Mukim, Pemangku Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung, Pemangku Ketua-Ketua Kampung, Ketua Rumah Panjang, Kementerian Hal Dalam Negeri, dan Ketua-Ketua Kluster, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, serta Jemputan-Jemputan Khas.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sumbangan berupa barang keperluan sekolah seperti alat-alat tulis serta peralatan sekolah lain, dan pakaian seragam sekolah kepada seramai 267 orang penerima (100 pelajar dari Daerah Brunei dan Muara; 51 pelajar dari Daerah Belait; 28 pelajar dari Daerah Tutong dan 88 pelajar dari Daerah Temburong).
Sumbangan yang disampaikan adalah hasil kutipan derma daripada warga Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Tabung Kebajikan Anak-Anak Yatim Daerah Brunei dan Muara; Tabung Amal Daerah Belait; Tabung Kebajikan Anak-Anak Yatim Daerah Tutong; Tabung Anak-Anak Yatim Daerah Temburong dan Tabung Bantuan Daerah Temburong. Sumbangan derma ini diharapkan dapat meringankan beban perbelanjaan bagi persediaan sekolah anak-anak berkenaan, sekaligus memastikan anak-anak yatim dan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dapat memulakan sesi persekolahan tahun 2025 dengan suntikan semangat baru dan persediaan peralatan sekolah yang lebih sempurna.