TUTONG, 27 JULAI 2025 - Riadah Brisk Walk 2025 Kali Ke-2 meriah dengan kehadiran lebih 150 penyertaan yang menjayakan acara berkenaan berlangsung di pekarangan Masjid Kampung Keriam.
Majlis bertemakan 'Warga Sihat, Song Dai Lakau Puooh' anjuran bersama Majlis Perundingan Kampung Keriam, Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Keriam dan Persatuan Melayu Keriam Tutong (PESAKA) bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-79 dan Sambutan Ilal Hijrah 1447 Hijrah.
Hadir menyerikan majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri sekali gus ikut serta acara berjalan kaki sejauh sekitar 4 kilometer bermula dan berakhir di pekarangan Masjid Kampung Keriam.
Juga hadir, Penghulu Mukim Keriam, Awang Haji Joharry bin Haji Abd. Karim; Penghulu Mukim Pekan Tutong, Awang Haji Salim bin Haji Othman; ketua-ketua kampung di bawah Mukim Pekan Tutong dan Keriam.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh imam masjid berkenaan, Awang Mohd. Fauzi bin Haji Anuar, diikuti dengan sesi pemanasan badan senamrobik yang ditunjuk oleh Awang Sarbini bin Mohiddin.
Sejurus acara berjalan kaki sampai di perkarangan masjid berkenaan, majlis diteruskan dengan sumbangan berkongsi rezeki berupa makanan asasi dan pakaian terpakai yang kemudiannya nanti diserahkan kepada para penduduk Kampung Keriam yang memerlukan bantuan.
Ketua Kampung Keriam, Awang Haji Bahrain bin Haji Bolhassan juga selaku Pengerusi Bersama ketika ditemu bual berkata, tujuan utama penganjuran aktiviti Brisk Walk ini antara lain meningkatkan perpaduan dan mengeratkan hubungan muhibah, kerjasama dan silaturahim dalam kalangan Ahli Jawatankuasa (AJK) selain meningkatkan kesedaran dan mempromosi gaya hidup yang sihat dalam kalangan AJK, keluarga dan para jemputan melalui aktiviti sukan dan riadah.
Menurut Awang Haji Bahrain lagi, acara seumpama ini akan diadakan setiap tahun. Dengan penganjuran Aktiviti Brisk Walk ini, semua ahli dan ahli keluarga dapat disatukan dalam satu kumpulan dan mengambil peluang untuk memperkuatkan ukhuwah dan persahabatan, di samping sama-sama menuju ke arah hidup sihat dengan berjalan kaki beramai-ramai.
Tambahnya, aktiviti seperti ini juga dapat memberi peluang untuk merapatkan rasa saling bekerjasama antara semua pihak dan masyarakat kampung ini secara amnya.