TUTONG, AHAD, 2 NOVEMBER 2025 - Seramai 21 pasukan mewakili daripada kementerian-kementerian menyertai Kejohanan Badminton Antara Kementerian-kementerian bersempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Kali Ke-32 bagi Tahun 2025.
Kejohanan ini merupakan salah satu inisiatif tahunan yang bertujuan memupuk semangat perpaduan, kerjasama dan gaya hidup sihat dalam kalangan penjawat awam di Negara Brunei Darussalam.
Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Salminan bin Haji Burut selaku tetamu kehormat.
Acara berlangsung di Gelanggang Badminton Kompleks Sukan Daerah Tutong, hari ini, turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, penghulu-penghulu mukim serta ketua-ketua kampung Daerah Tutong.
Acara kejohanan badminton berpasukan ini mempertandingkan sebanyak lima kategori iaitu Beregu Lelaki (Bahagian I dan Terbuka), Beregu Lelaki 'A' (Kategori B2 dan Ke Atas), Beregu Lelaki 'B' (Kategori Bahagian III dan Ke Bawah), Beregu Wanita 'A' (Kategori Bahagian III dan Ke Atas) dan Beregu Wanita 'B' (Kategori Bahagian IV dan Ke Bawah).
Kejohanan Badminton Antara Kementerian-kementerian bersempena HPA Kali Ke-32 merupakan anjuran bersama Jabatan Bandaran Tutong dan Jabatan Daerah Tutong serta dikendalikan oleh EYH United dan disokong oleh Persatuan Badminton Kebangsaan Brunei Darussalam (BNBA).
Peringkat separuh akhir dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 8 November 2025, manakala perlawanan akhir akan berlangsung pada Ahad, 9 November 2025.
Pasukan yang berjaya mara ke pusingan akhir akan merebut Piala Pusingan, yang merupakan sumbangan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.
Penganjuran acara bukan sahaja bertujuan untuk menyemarakkan suasana HPA, tetapi juga diharap dapat menjadi platform pembangunan sukan dalam sektor awam, membina hubungan yang lebih erat antara kementerian serta mewujudkan suasana kerja yang lebih harmoni dan produktif melalui aktiviti kesukanan yang sihat dan inklusif.