gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, SABTU, 13 DISEMBER 2025 – Acara Pembukaan Pertandingan Tarik Kalat Daerah Tutong sempena 9th Brunei December Festival 2025 yang dikendalikan oleh Tutong Tuggers dengan sokongan Jabatan Daerah Tutong telah berlangsung di Kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad
Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, yang seterusnya
menyempurnakan majlis pembukaan.

Bagi edisi penganjuran pada tahun ini, seramai 20 pasukan telah menyertai
pertandingan, mewakili pelbagai persatuan, kelab sukan, dan komuniti setempat
dalam usaha memartabatkan sukan tradisi negara.

Penganjuran acara ini bertujuan untuk mencungkil, menggilap, serta
memperkembangkan bakat baharu dalam sukan tarik kalat dalam kalangan belia Daerah Tutong. Selain itu, ia menyediakan platform riadah yang bermanfaat untuk keluarga semasa cuti persekolahan, sambil memperkukuhkan penglibatan aktif masyarakat dalam aktiviti sihat dan berbudaya.

Selaras dengan pelaksanaan 9th Brunei December Festival 2025, acara ini juga
berperanan meningkatkan daya tarikan pelancongan domestik dan antarabangsa ke Daerah Tutong, dengan mengetengahkan keunikan sukan tradisi sebagai salah satu identiti budaya tempatan.

Pada tahun ini, dua kategori dipertandingkan, iaitu Kategori Berat (680KG) dan
Kategori Ringan (560KG). Format pertandingan dijalankan secara pukul keliling
(round robin), tertakluk kepada jumlah penyertaan, bagi memastikan peluang
persaingan yang adil dan menyeluruh kepada semua pasukan.