gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, Khamis, 11 Jun 2026 – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pengkalan Mau, Bakiau dan Batang Mitus telah menganjurkan Program Gotong-Royong Membantu Membaiki Rumah milik Allahyarham Awang Jimin bin Dampol sebagai tanda keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan penduduk kampung.

Pada asalnya, projek berkenaan dirancang untuk membantu membaik pulih kediaman Awang Jimin bin Dampol. Namun, sebelum pelaksanaan projek tersebut dapat dijalankan, Allahyarham telah kembali ke rahmatullah pada 31 Mei 2026 dan meninggalkan seorang anak orang kelainan upaya (OKU) yang masih menetap di rumah berkenaan.

Bagi meneruskan hasrat murni Allahyarham untuk memperbaiki kediamannya, Pemangku Ketua Kampung telah berjaya mendapatkan tajaan daripada Persatuan Sukarelawan Kebajikan dan Kemasyarakatan (PSKK) yang berbesar hati menanggung kos pembelian kelengkapan tangga serta lapan batang tiang baharu bagi menggantikan struktur yang telah uzur.

Kerja-kerja gotong-royong menaik taraf rumah tersebut telah dilaksanakan bermula pada 8 Jun hingga 11 Jun 2026, melibatkan tempoh selama empat hari. Program berkenaan disertai oleh ahli-ahli MPK Pengkalan Mau, Bakiau dan Batang Mitus, penduduk kampung serta ahli-ahli Persatuan Sukarelawan Kebajikan dan Kemasyarakatan (PSKK) yang berganding bahu menyumbangkan tenaga dan kepakaran masing-masing.

Program tersebut bukan sahaja berjaya membantu memperbaiki kediaman keluarga yang memerlukan, malah turut menyerlahkan semangat keutuhan, perpaduan dan nilai kejiranan dalam kalangan penduduk kampung yang sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka yang ditimpa kesusahan.

Diharapkan usaha seumpama ini akan terus menjadi contoh kepada masyarakat dalam memupuk budaya tolong-menolong, sekali gus dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan serta memberikan sinar dan harapan baharu dalam meneruskan kehidupan.