gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, Ahad, 12 Julai. – Lebih 350 peserta menyahut cabaran dalam Larian Amal Sambutan Jubli Intan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong (MHBPT) anjuran MHBPT dengan kerjasama Tutong Runners selaku penganjur utama, Shahney Event Management dan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Panchor, Daerah Tutong berlangsung di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Acara larian amal yang turut disokong oleh Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST), Samakday Tyre, The Fisherman’s Hut, Artisan Fresh Water, Syarikat Stesen Minyak Perusahaan Cahaya Pakatan Berhad dan Suran Shell Filling Station sebagai penaja acara berkenaan.

Penyertaan larian amal berkenaan telah dibukakan kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam (NBD) dan warga asing yang bekerja di NBD dengan dibahagikan kepada dua kategori larian, iaitu Kategori 10 Kilometer (km) dan Kategori 5km.

Kedua-dua kategori berkenaan dibahagikan lagi kepada beberapa kategori di bawahnya, iaitu Kategori Senior Veteran (56-90 Tahun), Kategori Veteran (45 – 55 Tahun) dan Kategori Terbuka (44 Tahun ke Bawah).

Sehubungan itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan sesi pelepasan acara larian amal berkenaan, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, yang seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang di akhir acara.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif DST, Awang Radin Sufri bin Radin Basiuni; dan Pegawai Pemerintah Daerah Polis Tutong, Penguasa Polis (Supt.) Awang Haji Irham bin Haji Muhammad Arshad.

Acara bermula seawal jam 5.00 pagi dengan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah dan diteruskan dengan kuliah subuh yang disampaikan oleh Guru Sekolah Ugama Lamunin Tutong, Awang Abang Hariz bin Abang Hazdman.

Kemudian dilanjutkan dengan acara utama, iaitu pelepasan larian yang diadakan pada jam 6.15 pagi di kawasan letak kereta berhadapan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Acara berkenaan dianjurkan bersempena dengan Majlis Sambutan Jubli Intan MHBPT pada tahun ini dan juga bagi mengumpul dana Tabung Majlis Sambutan Jubli Intan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Di samping itu, penganjuran acara berkenaan juga bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara masjid dengan masyarakat, sekali gus memperkasa peranan masjid sebagai pusat ibadah, pembangunan ummah dan kegiatan kemasyarakatan yang menyatukan pelbagai lapisan masyarakat.