Your Title Goes Here
TUTONG, Rabu, 18 Februari 2026 – Seramai 31 orang pelajar bersama dua orang penyelia dari Universitas Islam Darussalam Gontor, Indonesia telah mengadakan lawatan ke Kampung Keriam bagi melaksanakan aktiviti Khidmat Masyarakat (KM) atau Community Service, yang merupakan salah satu komponen dalam program mata pelajaran mereka.
Kedatangan rombongan telah disambut oleh Ketua Kampung Keriam serta ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Keriam bertempat di Rumah Ketua Kampung Keriam sebagai lokasi berkumpul dan sesi taklimat awal. Dalam sesi tersebut, Ketua Kampung telah menyampaikan pengenalan ringkas mengenai latar belakang, perkembangan serta keadaan semasa Kampung Keriam sebagai panduan kepada para pelajar sebelum memulakan aktiviti.
Seterusnya, para pelajar telah dibahagikan kepada dua kumpulan bagi melaksanakan kempen kebersihan di dua buah kediaman penduduk yang terdiri daripada warga emas dan ibu tunggal di kampung berkenaan. Aktiviti yang dijalankan termasuk kerja-kerja pembersihan kawasan rumah dan persekitaran sebagai tanda keprihatinan, semangat sukarelawan dan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat setempat.
Program seumpama ini bukan sahaja memberi pendedahan secara langsung kepada para pelajar mengenai kehidupan bermasyarakat di negara ini, malah turut memupuk nilai empati, kerjasama dan semangat bergotong-royong dalam kalangan generasi muda.
Di akhir acara, telah diadakan sesi penyampaian cenderahati daripada pihak MPK Keriam sebagai tanda penghargaan dan persahabatan, sekali gus mengeratkan lagi hubungan silaturahim serta memperkukuhkan semangat kemasyarakatan antara kedua-dua pihak dari Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia.