Your Title Goes Here
TUTONG, KHAMIS, 11 JUN 2026 – Semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap masyarakat terserlah apabila seramai 48 peserta daripada Program Pascasarjana Teknologi Pendidikan, Universiti PGRI Adi Buana Surabaya, Indonesia telah mengadakan lawatan khidmat masyarakat ke Kampung Keriam, di sini.
Program yang merupakan sebahagian daripada lawatan akademik dan kemasyarakatan mereka ke Negara Brunei Darussalam (NBD) itu bertujuan memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat, di samping memupuk nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan peserta.
Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Dr. Rufi’i, S.Si., ST., M.Pd., selaku Direktur Program Pascasarjana Prodi Teknologi Pendidikan Universiti PGRI Adi Buana Surabaya, telah dialu-alukan oleh Ketua Kampung Keriam, Awang Haji Bahrin bin Haji Bolhassan bersama Ahli-ahli Majlis Perundingan Kampung (MPK) Keriam serta Ahli Jawatankuasa Takmir (AJKT) Masjid Kampung Keriam di Masjid Kampung Keriam.
Majlis dimulakan dengan sesi bergambar ramai sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan dan taklimat ringkas oleh Awang Haji Bahrin mengenai sejarah, perkembangan serta pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang dilaksanakan di Kampung Keriam.
Bagi menjayakan program khidmat masyarakat tersebut, para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan. Kumpulan pertama melaksanakan kerja-kerja pembersihan di kawasan Masjid Kampung Keriam, manakala kumpulan kedua mengadakan lawatan kebajikan ke kediaman seorang penduduk Orang Kelainan Upaya (OKU) iaitu Dayang Halimah binti Apong dengan menjalankan aktiviti membersihkan kawasan persekitaran rumah Dayang Halimah.
Rombongan juga berkesempatan beramah mesra bersama Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri di kediamannya dan juga menyaksikan persembahan berbentuk kebudayaan dan kemudiannya menerima cenderahati daripada Awang Haji Mohammad Sofian dan pihak MPK berkenaan.