Your Title Goes Here
TUTONG, Selasa, 28 Julai 2026 – Majlis Irama Asli Nusantara Melayu 2026 anjuran Irama Bahtera Entertainment telah diadakan di Kawasan Lapang berhadapan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong sebagai salah satu pengisian Pentas Perayaan Daerah Tutong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-80 Tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong.
Majlis tersebut mengetengahkan persembahan lagu-lagu irama asli Nusantara dan Melayu yang dipersembahkan oleh barisan penyanyi tempatan, sekali gus menghidupkan suasana malam dengan alunan muzik tradisional yang sarat dengan nilai warisan dan budaya. Persembahan yang disajikan bukan sahaja menghiburkan para pengunjung, malah turut menjadi medium dalam memelihara serta memartabatkan khazanah seni muzik Melayu agar terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Penganjuran majlis ini merupakan antara usaha berterusan untuk menyemarakkan sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Daerah Tutong di samping menyediakan platform kepada penggiat seni tempatan untuk menampilkan bakat serta memperkukuhkan semangat perpaduan dan kemasyarakatan melalui penghayatan terhadap seni dan budaya warisan Nusantara.
Pentas Perayaan Daerah Tutong akan diteruskan dengan pelbagai aktiviti, termasuk persembahan kebudayaan, hiburan, keagamaan dan kemasyarakatan sehingga 8 Ogos 2026, sekali gus memberikan peluang kepada orang ramai untuk terus bersama-sama memeriahkan sambutan berkenaan.