Your Title Goes Here
TUTONG, Sabtu 14 Mac 2026 – Persatuan penunggang motosikal No Limit Riders (NNLR) telah mengadakan Majlis Pelancaran dan Pelepasan Rasmi Ekspedisi NNLR Tri-Nation Ride 2026 yang berlangsung di Jabatan Daerah Tutong. Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Yang Mulia Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri
Ekspedisi NNLR Tri-Nation Ride 2026 melibatkan penyertaan lapan (8) orang penunggang motosikal yang akan menempuh perjalanan sejauh kira-kira 5,000 kilometer merentasi tiga buah negara iaitu Brunei Darussalam, Malaysia dan Thailand dalam tempoh 20 hari bermula pada 16 April 2026.
Sebagai sebahagian daripada perancangan ekspedisi, motosikal yang berdaftar di Brunei Darussalam akan diterbangkan ke Kuala Lumpur, Malaysia sebagai titik permulaan perjalanan darat sebelum para peserta meneruskan ekspedisi ke beberapa destinasi utama di Malaysia dan Thailand.
Antara laluan utama yang akan dilalui termasuk laluan terkenal dalam kalangan komuniti penunggang motosikal iaitu “1,000 Corners” di Thailand, yang terkenal dengan selekoh-selekoh mencabar serta pemandangan semula jadi yang indah. Laluan ini merupakan antara destinasi ikonik bagi penunggang motosikal jarak jauh dari seluruh dunia.
Majlis pelancaran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diketuai oleh Hj Rosli, diikuti dengan taklimat ringkas mengenai ekspedisi NNLR Tri-Nation Ride 2026 oleh Presiden dan Pengasas NNLR, Haji Muhammad Noor Arifin bin Haji Md Diah yang juga merupakan penyelaras dan ketua ekspedisi. Majlis diteruskan dengan penyampaian cenderahati kepada tetamu kehormat serta bacaan Doa Selamat dan Doa Perjalanan bagi memohon keselamatan para peserta sepanjang ekspedisi.
Sebagai simbolik pelancaran ekspedisi, pelekat rasmi NNLR Tri-Nation Ride 2026 telah dilekatkan pada motosikal para peserta sebelum acara pelepasan rasmi (flag-off) disempurnakan oleh Yang Mulia Pegawai Daerah Tutong.
Menurut Presiden dan Pengasas NNLR, Haji Muhammad Noor Arifin bin Haji Md Diah, ekspedisi ini mencerminkan komitmen komuniti NNLR dalam memupuk semangat persaudaraan, kerjasama dan disiplin dalam kalangan penunggang motosikal.
Beliau menambah bahawa tema ekspedisi tahun ini, “Brotherhood Beyond Borders”, melambangkan semangat persahabatan dan perpaduan dalam kalangan komuniti penunggang motosikal yang merentasi sempadan negara serta memperkukuhkan hubungan serantau melalui minat dan semangat pengembaraan yang sama.
Ekspedisi ini juga diharap dapat mempromosikan budaya penunggangan motosikal yang selamat, berdisiplin dan bertanggungjawab, di samping menjadi inspirasi kepada komuniti penunggang motosikal untuk terus meneroka pengalaman baharu dan mengukuhkan jaringan persahabatan di peringkat antarabangsa. Ianya juga berhasrat untuk mempromosi Negara Brunei Darussalam, Kingdom of the Unexpected Treasures.