Your Title Goes Here
TUTONG, Ahad, 3 Mei 2026 – Majlis Penyampaian Hadiah bagi Kejohanan Open Picklers Showdown Series II telah berlangsung di Dewan Sekolah Chung Hwa Kiudang, Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad, Penolong Pegawai Daerah Tutong, yang seterusnymenyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang kejohanan.
Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari itu mempertandingkan sembilan kategori iaitu Women’s Doubles, Mixed Doubles, Men’s Doubles, Women’s Singles, Intermediate Women’s Doubles, Men’s Singles, Intermediate Men’s Doubles, Novice Mixed Doubles dan Intermediate Mixed Doubles.
Lebih 400 penyertaan telah diterima melibatkan pemain dari dalam dan luar negara, termasuk Brunei Darussalam, Malaysia, Singapura, Filipina dan Indonesia, sekali gus mencerminkan perkembangan positif serta minat yang semakin meningkat terhadap sukan pickleball di peringkat serantau.
Penganjuran kejohanan ini bertujuan untuk memperkasa pembangunan sukan pickleball di Negara Brunei Darussalam, bukan sahaja dari segi peningkatan jumlah penyertaan, malah turut menitikberatkan aspek kualiti permainan. Melalui platform ini, para pemain tempatan berpeluang untuk bersaing dalam suasana kompetitif, memperoleh pendedahan antarabangsa serta meningkatkan tahap kemahiran dengan berhadapan pemain dari luar negara.
Selain itu, kejohanan ini juga merupakan satu inisiatif ke arah memperkukuh kedudukan Negara Brunei Darussalam sebagai antara destinasi penganjuran kejohanan sukan bertaraf antarabangsa, di samping mengangkat nama negara dalam arena pickleball di peringkat serantau.
Kejohanan ini diharapkan akan terus menjadi pemangkin kepada perkembangan sukan pickleball di negara ini serta melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang mampu bersaing di persada antarabangsa pada masa akan datang.