gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, Sabtu 11 April 2026 – Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kampung Telisai bagi Tahun 1447 Hijrah/2026 Masihi anjuran Majlis Perundingan Kampung Telisai telah diadakan di Dewan Kemasyarakatan Bukit Beruang.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong berserta isteri.

Majlis ini diadakan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat kampung, selaras dengan tema “Mengeratkan Silaturahim, Memperkukuh Perpaduan”. Penganjurannya turut bertujuan menghimpunkan penduduk daripada pelbagai lapisan usia dan latar belakang dalam suasana yang harmoni dan muhibah, di samping memberi peluang kepada anak-anak kampung yang menetap di luar kawasan untuk kembali berkumpul dan memeriahkan sambutan bersama.

Selain itu, majlis ini juga berperanan dalam memupuk nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, toleransi dan semangat kekitaan yang menjadi asas kepada kesejahteraan masyarakat, sekali gus memperkukuh jalinan kerjasama dan perpaduan dalam komuniti setempat.

Dalam ucapan Ketua Kampung Telisai, Awang Sofian bin Haji Md Yusof, beliau berharap agar majlis seumpama ini akan terus menjadi pemangkin kepada hubungan yang lebih erat dalam kalangan penduduk serta mengekalkan suasana kehidupan bermasyarakat yang harmoni, bersatu padu dan saling menghormati.