gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, AHAD, 12 April 2026 – Kemeriahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri masih terus diraikan oleh pelbagai pihak walaupun bulan Syawal hampir sampai ke penghujungnya.

Sehubungan dengan itu, Persatuan Penunggang Motosikal N.E.W Tanpa Had (NNLR) turut mengadakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang berlangsung malam tadi di Dewan Kemasyarakatan Tanjong Maya, di sini. 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.

Majlis berkenaan dihadiri oleh lebih 50 ahli NNLR dan ahli-ahli keluarga persatuan yang bertujuan bagi mengeratkan lagi silaturahim antara para ahli persatuan berkenaan.

Terdahulu itu, acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Majlis.

Seterusnya, majlis dimeriahkan lagi dengan sesi ramah mesra dan persembahan daripada ahli-ahli NNLR dan kemudian diteruskan dengan penyampaian baju rasmi NNLR Tri-Nation Ride 2026 kepada para peserta yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.

Ekspedisi NNLR Tri-Nation Ride 2026 melibatkan penyertaan lapan penunggang motosikal yang akan menempuh perjalanan sejauh kira-kira 5,000 kilometer merentasi tiga buah negara, iaitu Negara Brunei Darussalam (NBD), Malaysia dan Thailand dalam tempoh 20 hari bermula pada 16 April 2026.

Sebagai sebahagian daripada perancangan ekspedisi, motosikal yang berdaftar di NBD akan diterbangkan ke Kuala Lumpur, Malaysia sebagai titik permulaan perjalanan darat sebelum para peserta meneruskan ekspedisi ke beberapa destinasi utama di Malaysia dan Thailand.