Your Title Goes Here
TUTONG, SELASA, 24 FEBRUARI 2026. – Majlis Tadarus Al-Quran bulan Ramadan rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya berserta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung (MPMK) Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Daerah Tutong telah diadakan bertempat di Masjid Kampung Layong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir, Setiausaha Tetap-Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya serta penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dan Ahli-ahli MPMK Daerah Tutong berserta penduduk kampung sekitarnya.
Majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah, diikuti dengan Majlis Bacaan Tadarus Al-Quran dan bacaan Tahlil serta Doa Selamat yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Mohd. Nazelley bin Noorashid.
Majlis juga diteruskan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan wakaf yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Antara lain tujuan majlis itu diadakan ialah untuk menjalinkan hubungan yang erat di kalangan pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya berserta Ahli-ahli MPMK dan pemimpin akar umbi serta menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan.