Your Title Goes Here
TUTONG, Ahad, 28 Jun – Perlumbaan Basikal Bukit Ambog XCO Funrace 2026 anjuran Majlis Perundingan Mukim (MPM) Keriam dengan kerjasama Team 430 dan Team 530 Bukit Ambog telah diadakan di kawasan persekitaran Bukit Ambog, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Sebanyak tujuh kategori telah dipertandingkan, iaitu Kategori Lelaki Terbuka (45 tahun ke bawah), Master (46 hingga 49 tahun), Veteran (50 tahun hingga 59 tahun), Heavyweight (90kg ke atas), E-Bike Terbuka, Enduro Bike Fullsus (150mm ke atas) dan Otai (60 tahun ke atas), dengan penyertaan seramai 85 peserta yang terdiri daripada peminat sukan berbasikal lasak dari pelbagai daerah.
Penganjuran acara ini merupakan salah satu inisiatif dalam menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti riadah yang sihat, berdaya saing serta mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan komuniti peminat sukan Mountain Biking (MTB).
Di samping itu, acara ini juga menjadi platform untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam MTB di peringkat tempatan, khususnya dalam kalangan belia, agar terus aktif dalam aktiviti sukan yang positif.
Selain itu, perlumbaan ini turut memberi peluang kepada para peserta untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama komuniti berbasikal, di samping mempromosikan ‘trail’ Bukit Ambog sebagai salah satu lokasi rekreasi dan sukan yang berpotensi untuk pembangunan pelancongan sukan di Daerah Tutong.
Antara objektif utama acara ini adalah untuk menyediakan platform pertandingan yang tersusun dan selamat bagi peminat Sukan MTB menguji kemahiran serta ketahanan diri, di samping memupuk nilai disiplin, semangat kesukanan, kerjasama berpasukan serta daya tahan fizikal dan mental.
Acara ini juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengendalian perlumbaan MTB mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan, selain meningkatkan pengalaman serta keyakinan diri melalui penyertaan dalam pertandingan berkonsepkan Cross-Country Olympic (XCO).
Penganjuran Bukit Ambog XCO Funrace 2026 diharap akan terus menjadi acara tahunan yang mampu memperkukuhkan budaya hidup sihat, memupuk semangat kesukanan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.
Acara seumpama ini juga diharapkan dapat terus menyemarakkan perkembangan sukan berbasikal lasak di negara ini, khususnya di Daerah Tutong, sekali gus menjadikan Bukit Ambog sebagai salah satu destinasi utama bagi aktiviti rekreasi dan pelancongan sukan.