gov.bn A Brunei Darussalam Government Website
A A A Melayu | English

Your Title Goes Here

TUTONG, ISNIN, 19 JANUARI 2025 – Program Kembara Zakat 2026 yang dikelolakan oleh Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) diteruskan lagi ke Daerah Tutong bertempat di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.

Program tersebut antara lain adalah bagi menyampaikan maklumat serta memberikan penerangan kepada penghulu dan ketua-ketua kampung berkaitan pengurusan permohonan bantuan zakat, perkhidmatan JUZWAB di bawah Sistem Kebajikan Negara (SKN) serta pengenalan mengenai wakaf dan baitulmal, juga dalam usaha mempertingkatkan perkhidmatan pengurusan zakat, wakaf dan baitulmal di Negara Brunei Darussalam.

Hadir sama dalam program tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abd. Karim.

Juga hadir, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awangku Arif Anuar bin Pengiran Haji Ahmad dan Ketua Pegawai Ugama Tutong, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Tutong, KHEU, Awang Haji Azman bin Haji Musa.

Program dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diikuti dengan ucapan alu-aluan. Majlis diteruskan dengan taklimat yang disampaikan oleh Pemangku Pengarah Urusan, Zakat, Waqaf dan Baitulmal, KHEU, Awang Haji Saharuddin bin Haji Petra.

Program Kembara Zakat 2026 turut memuatkan Klinik Zakat yang dibukakan bagi memberikan panduan dan bantuan berhubung tatacara permohonan SKN, pengiraan zakat, pengiraan fidyah dan lain-lain serta lain-lain perkara yang berkaitan.

Adalah diharapkan semoga dengan adanya program ini akan dapat menjalinkan kerjasama yang lebih aktif khususnya bagi mempermudah pengurusan bantuan serta penyampaian perkhidmatan agama kepada anak buah kampung masing-masing.