Your Title Goes Here
TUTONG, Sabtu, 20 Disember 2025 – Program Senada Kasih Majlis Semarak Bersama PKWE 2025 anjuran Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah diadakan di Kawasan Letak Kereta berhadapanan Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, yang seterusnya berkenan melancarkan Majlis Semarak Bersama PKWE 2025.
Program ini diadakan sebagai tanda kesyukuran sepanjang tahun 2025 di mana Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Tutong telah berjaya melaksanakan pelbagai program dan kegiatan hasil kerjasama serta sokongan daripada ahli-ahlinya, jabatan-jabatan Kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Brunei Darussalam (UBD) serta pihak-pihak berkaitan yang lain.
Sebagai salah satu kegiatan tahunan yang lazimnya diadakan pada penghujung tahun, pelbagai acara telah disusun bagi memeriahkan program ini. Pada tahun ini, program tersebut menampilkan jualan dan permainan dalam skala sederhana yang melibatkan penyertaan ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas serta orang ramai. Aktiviti ini bertujuan memberi peluang kepada ahli-ahli untuk menjalankan perniagaan sebagai salah satu sumber ekonomi di samping mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli sedia ada.
Turut hadir ke majlis ini ialah Yang Berhormat Awang Abd Aziz bin Haji Hamdan, Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Sengkarai; Penghulu Mukim Pekan Tutong; pegawai dan kakitangan Jabatan Pembangunan Masyarakat; jemputan khas serta ahli-ahli Pusat Kegiatan Warga Emas Daerah Tutong.
Program seumpama ini diharap akan dapat diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang dengan sokongan berterusan daripada pihak Kerajaan serta agensi-agensi berkaitan agar pelaksanaannya dapat dijalankan secara lebih tersusun dan berkesan. Usaha ini selaras dengan matlamat untuk memperkasa kesejahteraan warga emas, menggalakkan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kemasyarakatan serta memperkukuhkan pembangunan sosial di Daerah Tutong secara berterusan.