Your Title Goes Here
TUTONG, Sabtu, 5 September 2026 – Projek Bekarih: Sesi Perjumpaan dan Perkongsian Platform Digital Office Microsoft 365 (MS Teams) bagi Kolaborasi Strategik Institusi Mukim dan Kampung (IMK), Jabatan Daerah Tutong bersama Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), telah diadakan di Dewan Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Tutong.
Sesi yang dikendalikan oleh Bahagian Sistem dan Data Maklumat itu bertujuan memperkukuh kerjasama dan penyelarasan antara JUZWAB dan Jabatan Daerah Tutong, khususnya dalam membantu Penghulu Mukim dan Ketua Kampung mendapatkan maklumat serta mengikuti perkembangan status permohonan anak buah kampung di bawah tadahan masing-masing dengan lebih teratur dan berkesan.
Melalui penggunaan Microsoft Teams, satu saluran komunikasi dan perkongsian maklumat yang lebih sistematik dapat diwujudkan, sekali gus memudahkan pemantauan, perkongsian maklumat terkini serta tindakan susulan terhadap perkara-perkara berkaitan permohonan.
Sesi perkongsian turut merangkumi penerangan mengenai pengenalan, tatacara mengakses dan penggunaan platform Microsoft Teams sebagai medium kolaborasi digital antara pihak-pihak berkepentingan.
Projek Bekarih merupakan satu inisiatif Digital Office berasaskan Microsoft 365 dan MS Teams yang bertujuan mentransformasikan pengurusan data Asnaf Fakir Miskin secara real-time, telus dan berintegriti.
Inisiatif tersebut juga mencerminkan pendekatan Whole of Government (WoG) melalui sinergi strategik antara JUZWAB dan Institusi Mukim dan Kampung (IMK), Jabatan Daerah Tutong dalam mempertingkatkan kecekapan pengurusan maklumat, pemantauan permohonan serta penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Usaha berkenaan diharap akan terus memperkukuh jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, di samping mendukung usaha pendigitalan perkhidmatan awam yang lebih cekap, tersusun dan responsif terhadap keperluan masyarakat.