Your Title Goes Here
TUTONG, ISNIN, 16 FEBRUARI 2026. – Projek Senada Kasih Pusat Kegiatan Warga Emas Tutong (PKWE Tutong) bagi pengagihan daging kerbau anjuran pusat berkenaan telah berlangsung pagi tadi di kawasan lapang pusat berkenaan. Projek tersebut diadakan untuk berkongsi rasa gembira dan syukur di atas rezeki yang diperoleh.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyampaikan agihan daging kerbau tersebut kepada para penerima ialah Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Awang Haji Mohammad Sofian bin Haji Basri.
Sebanyak dua ekor kerbau telah dikorbankan, di mana daging-dagingnya diagih-agihkan kepada para penerima yang terdiri daripada orang-orang yang memerlukan. Daging berkenaan hasil dari sumbangan daripada 54 Ahli-ahli PKWE Tutong yang menyertai projek berkenaan.
Antara lain tujuan majlis diadakan bagi memberi peluang kepada Ahli-ahli PKWE Tutong untuk menyalurkan sumbangan sedekah secara berkumpulan.
Di samping itu, projek tersebut adalah salah satu platform ke arah pemedulian masyarakat dan sekali gus sebagai amal jariah di PKWE Tutong untuk memberi sumbangan khidmat yang termampu.