Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

MAJLIS PENGUNDIAN DAN PEMILIHAN CALON PENGHULU MUKIM UKONG DAN KETUA KAMPONG UKONG DAERAH TUTONG

calon Penghulu Mukim Ukong dan calon Ketua Kampong Ukong.png

​TUTONG, 9 APRIL 2021-Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Ukong dan Ketua Kampong Ukong telah diadakan hari ini bertempat di Dewan Sekolah Rendah Dato Pemancha Saging Ukong, Kampong Ukong, Mukim Ukong, Daerah Tutong.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat yang diketuai oleh imam Awang Gazali bin Mohd Ariffin, Pemangku Imam Balai Ibadat Hajah Aminah Kampong Long Mayan. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Yang Mulia, Awang Md Amirul Hadi bin Haji Md Tajudin, Pemangku Pegawai Daerah Tutong selaku Pengerusi Majlis dan ucapan daripada Yang Berhormat, Awang Haji Ramli bin Haji Lahit, Ahli Majlis Mesyuarat Negara Zon 2 juga selaku Pemangku Penghulu Mukim Ukong.

Sebelum pengundian dimulakan penduduk kampong yang hadir juga berkesempatan untuk mendengar taklimat tatacara pemilihan dan pengundian calon oleh Yang Mulia, Awang Mohammad Shazry Walliuddin bin Shamsuddin, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Jabatan Daerah Tutong.

Calon tunggal yang layak bagi mengisikan jawatan Penghulu Mukim Ukong ialah Yang Mulia Awang Muhammad Danial@Tekpin bin Ya'kub berusia 57 tahun yang mana sebelumnya bertugas sebagai Penolong Timbalan Pengetua di Pusat Tingkatan Enam, Tutong.

Manakala, calon tunggal yang layak bagi mengisikan jawatan Ketua Kampong Ukong ialah Yang Mulia Awang Muhammad Hakimi bin Abdullah Gampar berusia 57 tahun yang mana sebelumnya bertugas sebagai Penyelia Pejabat di Jabatan Daerah Tutong sebelum bersara pada tahun 2019.

Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Ukong pada hari ini adalah khusus bagi penduduk-penduduk Kampong Ukong selain daripada pengundian dan pemilihan bagi calon Ketua Kampong. Sementara itu, Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Ukong akan diteruskan pada hari Ahad, 11 April 2021 bertempat di Dewan Kemasyarakatan Kampong Bukit, Mukim Ukong khusus bagi penduduk-penduduk di Kampong Bukit dan Kampong Long Mayan termasuk penduduk-penduduk Kampong Ukong yang tidak dapt hadir semasa Majlis Pengundian dan Pemilihan pada hari ini.

Seramai 341 orang telah hadir mengundi calon bagi mengisikan jawatan Ketua Kampong Ukong daripada jumlah 460 orang yang berdaftar dan layak mengundi. Daripada jumlah yang hadir mengundi tersebut seramai 335 orang bersetuju, 3 orang tidak bersetuju dan 3 orang undi rosak.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pemangku Ketua-Ketua Kampong di bawah Mukim Ukong, Daerah Tutong.

Keputusan pengundian akan dihadapkan kepada Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

Sehubungan itu, penduduk-penduduk Kampong Bukit dan Kampong Long Mayan serta penduduk-penduduk Kampong Ukong yang belum berkesempatan untuk mengundi bagi calon Penghulu Mukim Ukong adalah dialu-alukan untuk hadir mengundi pada hari Ahad, 11 April 2021 bertempat di Dewan Kemasyarakatan Kampong Bukit, Mukim Ukong. 

Created at 14/09/2021 14:25 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar
Last modified at 14/09/2021 14:25 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar