Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

MAJLIS PENGUNDIAN DAN PEMILIHAN CALON PENGHULU MUKIM PEKAN TUTONG DAN KETUA KAMPONG PENANJONG, DAERAH TUTONG

Majlis Pengundian.png

​TUTONG, 25 April 2021 - Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Pekan Tutong dan Ketua Kampong Penanjong telah diadakan hari ini bertempat di Dewan Sekolah Rendah Penanjong, Kampung Penanjong, Mukim Pekan Tutong, Daerah Tutong.

Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah dan doa selamat yang diketuai oleh Imam Haji Muhd Kartolo bin Haji Abang, Imam Masjid Kampung Penanjong. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada Yang Mulia, Awang Md Amirul Hadi bin Haji Md Tajudin, Pemangku Pegawai Daerah Tutong selaku Pengerusi Majlis dan ucapan daripada Yang Berhormat, Awang Haji Abd Wahab bin Apong, Ahli Majlis Mesyuarat Negara Zon 1 juga selaku Pemangku Penghulu Mukim Pekan Tutong.

Sebelum pengundian dimulakan penduduk Kampong yang hadir juga berkesempatan untuk mendengar taklimat tatacara pemilihan dan pengundian calon oleh Yang Mulia, Pengiran Haji Zul Fakhri bin Pengiran Haji Omarali, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Tingkat II, Ketua Bahagian Institusi Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Tutong.

Dua Orang calon yang layak bagi mengisikan jawatan penghulu Mukim Pekan Tutong ialah Yang Mulia Awang Salim bin Haji Othman berusia 55 tahun dan adalah pesara Pegawai Pendidikan. Manakala, calon kedua ialah Yang Mulia Awang Abdul Kahar bin Haji Yahya berusia 48 tahun yang mana pada masa ani masih bertugas di Jabatan Daerah Tutong.

Calon tunggal yang layak bagi mengisikan jawatan Ketua Kampong Penanjong iaitu Yang Mulia Awang Muhammad Ariffin bin Haji Akip berusia 45 tahun yang mana pada masa ini masih bertugas di Jabatan Daerah Tutong.

Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Pekan Tutong pada hari ini adalah khusus bagi penduduk-penduduk Kampong Penanjong selain daripada pengundian dan pemilihan bagi calon Ketua Kampong Penanjong. Sementara itu, Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Penghulu Mukim Pekan Tutong akan diteruskan pada hari ahad, 2 Mei 2021 yang mana juga akan diadakan Majlis Pengundian dan Pemilihan Calon Ketua Kampung Sengkarai bertempat di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong bagi penduduk-penduduk di Kampong Panchor, Kampong Petani dan Kampong Sengkarai.

Seramai 353 orang telah hadir mengundi calon bagi mengisikan jawatan Ketua Kampong Penanjong daripada jumlah 490 orang yang berdaftar dan layak mengundi. Seramai 292 orang bersetuju, 48 orang tidak bersetuju dan 13 undi rosak telah mengundi Calon Awang Muhammad Ariffin bin Haji Akip.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pemangku Penolong Pegawai Daerah Tutong, Pegawi-Pegawai Kanan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pemangku Ketua-Ketua Kampong di bawah Mukim Pekan Tutong, Daerah Tutong.

Keputusan pengundian akan dihadapkan ke Lembaga Perjawatan, Disiplin, Tatatertib Penghulu Mukim dan Ketua Kampong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bagi proses selanjutnya.

Sehubungan itu, penduduk-penduduk Kampong Panchor, Kampong Petani dan Kampong Sengkarai serta termasuk penduduk-penduduk di Kampong Penabai/Kuala Tutong dan Kampong Penanjong yang belum berkesempatan untuk mengundi bagi calon Penghulu Mukim Pekan Tutong adalah dialu-alukan untuk hadir mengundi pada hari Ahad, 2 Mei 2021 bertempat di Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.

 

Created at 20/09/2021 14:09 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar
Last modified at 20/09/2021 14:09 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar