Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

Manage PermissionsManage Permissions

PEMANTAUAN KEADAAN BANJIR DI DAERAH TUTONG

Pemantauan Banjir.png

TUTONG, 27 OGOS 2021 - Berikutan cuaca tidak menentu dan hujan lebat yang berterusan di negara ini menyebabkan paras air naik di kawasan pendalaman Daerah Tutong khususnya di Kampung Benutan. Kesan daripada paras air naik di kawasan pendalaman berkenaan juga menyebabkan beberapa buah kampung iaitu Kampung Rambai, Kampung Ukong, Kampung Kuala Ungar dan Bangkuru serta Kampung Layong telah mengalami banjir disebabkan turunan air sungai daripada kawasan pendalaman yang menyebabkan beberapa buah rumah dimasuki air dan beberapa batang jalan raya tidak dapat dilalui oleh kenderaan biasa dan pacuan empat roda.

Semalam lawatan dan tinjauan situasi banjir telah diadakan oleh Yang Mulia Awang Ajmin bin Haji Meludin, Pemangku Pegawai Daerah Tutong. Lawatan berkenaan juga diteruskan dengan penyerahan sebanyak 13 barang-barang bantuan keperluan harian kepada rumah-rumah yang dimasuki air di kawasan Kuala Ungar dan Bangkuru.

Salah satu lokasi lawatan ialah menyusur kawasan Jalan Bangkuru bagi meninjau keadaan paras air dan melawat ke sebuah rumah penduduk kampung iaitu kepunyaan Awil Anak Ali yang dimasuki air. Semasa lawatan tersebut, Yang Mulia Pemangku Pegawai Daerah Tutong telah berkesempatan untuk berinteraksi bersama ketua keluarga dan Pemangku Ketua Kampung Merimbun serta diselajurkan dengan penyampaian barang-barang bantuan daripada pihak Jabatan Pembangunan Masyarakat mengikut tatacara dan SOP yang dikuatkuasakan masa ini.

Perancangan persediaan bantuan-bantuan termasuk barang-barang catuan keperluan harian telahpun diaturkan bersama agensi-agensi yang berwajib dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut perkembangan paras air banjir.

Dalam kesempatan ini, pihak Jabatan ingin mengingatkan kepada penduduk kampung supaya sentiasa menggunakan saluran yang betul dan bersikap sabar dalam menghadapi situasi banjir ini. Sebarang masalah dan keperluan bantuan bolehlah menghubungi Ketua Kampung dan Pemangku Ketua-Ketua Kampung masing-masing supaya bantuan-bantuan dapat diselaraskan bersama pihak-pihak yang berkenaan dengan teratur.

Pihak Jabatan Daerah Tutong juga mengingatkan kepada penduduk-penduduk kampung dan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan semasa banjir ini dan sentiasa memantau anak-anak mereka supaya tidak bermain di kawasan banjir bagi keselamatan bersama.

Pemantauan paras air telahpun dilaksanakan sejak kejadian hujan lebat bermula pada pertengahan Ogos 2021. Keadaan paras air banjir adalah masih dalam keadaan terkawal dan pihak Jabatan Daerah Tutong bersama agensi-agensi yang berkenaan, Penghulu-Penghulu Mukim, Ketua-Ketua Kampung dan Pemangku Ketua-Ketua Kampung sentiasa membuat pemantauan perkembangan paras air banjir dari semasa ke semasa.

Hadir sama pada lawatan tersebut ialah Yang Berhormat Awang Haji Ramli bin Haji Lahit, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Cawangan JAPEM Tutong. 


Created at 12/10/2021 12:56 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar
Last modified at 12/10/2021 13:17 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar