TUTONG, 1 OKTOBER 2023 - Lebih 100 peserta pagi tadi mengikuti Riadah Berbasikal, Tahun 1445 Hijrah / 2023 Masihi anjuran Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Lamunin dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, Majlis Perundingan Kampung Rambai / Kuala Ungar / Benutan yang bermula di Dataran Balai Raya Gong 3, Kampung Lamunin, Tutong, di sini.
Hadir selaku tetamu-tetamu khas dan seterusnya menyertai riadah berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; dan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Atur cara dimulakan dengan bacaan Doa Selamat yang diketuai oleh Imam Masjid Kampung Lamunin, Awang Abdul Wafi bin Haji Awang, diikuti dengan senaman aerobik.
Riadah Berbasikal sejauh kurang lebih 23.6 kilometer tersebut menyelusuri beberapa kampung termasuk Kampung Lamunin, Kampung Biong, Kampung Rambai, Kampung Kuala Ungar, dan Kampung Panchong yang menempatkan empat hentian (pit-stop) iaitu di Simpang Tiga Kampung Rambai, Sekolah Rendah Panchong, Masjid Kampung Bang Dalam, dan Balai Bomba Lamunin.
Riadah tersebut kemudiannya berakhir kembali di Dataran Balai Raya Gong 3, Kampung Lamunin.