Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

MUKIM KU CERIA PEKAN TUTONG

Mukim Ku Ceria Pekan Tutong 2023 anjuran MPM Pekan Tutong.png

TUTONG, 1 OKTOBER, 2023 - Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong mengadakan Mukimku Ceria Pekan Tutong yang dikendalikan bersama Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Bandaran Tutong dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong pada hari ini bertempat di Kawasan Jeti Sungai Pekan Tutong, di sini.

​Mukimku Ceria Pekan Tutong diadakan bermula pada 30 September 2023 dan berakhir pada 1 Oktober 2023.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Awang Aliuddin bin Haji Abdul Rahman.​

Turut hadir di acara berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan selaku Ketua Kampung Sengkarai; Penghulu Mukim Pekan Tutong, Awang Haji Salim bin Haji Othman selaku Pengerusi Majlis dan Ketua-ketua Kampung, Pemangku Ketua Kampung di bawah Mukim Pekan Tutong dan Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Tutong berserta penduduk kampung sekitarnya.​

​Acara dimulakan dengan ucapan Pengerusi Majlis dan diikuti dengan sesi senamrobik dan selepas itu berjalan santai sejauh 1.8 kilometer yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK), Sengkarai.​

​Seterusnya tetamu kehormat menyaksikan pameran potret Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertempat di Bilik Hitam Bangunan Mahkamah Lama Daerah Tutong yang dikendalikan oleh MPK Penanjong dan juga pertunjukan seni mempertahankan diri dan pertandingan 'Skipping' yang dikendalikan oleh MPK Panchor.

Majlis juga diteruskan melawat ke Bazar Mukimku Ceria yang dikendalikan MPK Petani dan menyaksikan Cabaran Permainan Keluarga yang dikendalikan oleh MPK Penabai dan Kuala Tutong.

Bagi menyahut seruan negara ke arah mempelbagaikan hasil dan meningkatkan sosioekonomi negara, Mukim Pekan Tutong mengambil langkah dan membuat inisiatif untuk mengadakan acara Mukimku Ceria.

Acara Mukimku Ceria berkenaan adalah sebagai landasan untuk menyatukan orang-orang kampung daripada pelbagai latar belakang, usia dan minat.

Selain itu, ia juga menggalakkan semangat bermasyarakat dan memberi ruang kepada penduduk untuk berinteraksi, bersosialisasi dan menjalin persahabatan sehingga dapat membentuk rasa kekitaan serta menjadikan MPK lebih mapan di dalam Mukim.

Mukimku Ceria memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan sosial, budaya dan ekonomi mukim selain ia dapat memberi peluang untuk membangun masyarakat, memberi kesedaran mengenai kepentingan menjaga persekitaran mukim dan menggalakkan amalan yang baik dan kukuh dalam kalangan penduduk kampung di bawah Mukim Pekan Tutong.

Tujuan program berkenaan adalah untuk membantu Mukim Pekan Tutong menjadi tarikan penduduk dan pengunjung dari dalam dan luar daerah, di samping menjadi platform untuk mempamerkan dan menjual pelbagai hasil atau produk kampung seperti makanan, minuman, kraf tangan, pertanian, bunga-bungaan, pakaian yang terdapat di Mukim Pekan Tutong.

Selain itu, menanam dan mengamalkan gaya hidup sihat yang dapat memberi manfaat jangka panjang bagi kesejahteraan penduduk mukim.

  


Created at 02/10/2023 12:28 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar
Last modified at 02/10/2023 12:28 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar