TUTONG, 4 NOVEMBER 2023 - Dengan hasrat
untuk memperkasakan gaya hidup
sihat dalam kalangan masyarakat
di negara ini sambil menikmati
keindahan suasana persekitaran
kampung, Majlis Perundingan
Kampung (MPK) Penanjong
dengan kerjasama Shahney
Event Management menganjurkan acara Beach Night
Run buat julung kalinya bertempat
di Pantai Persiaran Pengkalan
Pinang, Kampung Penanjong,
Tutong.
Seramai 180 peserta bukan
hanya terdiri daripada penduduk
di negara ini bahkan termasuk tiga
orang dari United Kingdom dan
lima orang lagi dari Malaysia itu
telah menyertai acara larian dalam
empat kategori utama iaitu Lelaki
Veteran 50 Tahun Ke Atas;
Perempuan Veteran 50 Tahun
Ke Atas; Lelaki Terbuka 49 Tahun
Ke Bawah; dan Perempuan
Terbuka 49 Tahun Ke Bawah.
Pada pertandingan berkenaan,
Awang Md. Azrol bin Haji
Awang Aji muncul juara bagi
Kategori Lelaki Terbuka, manakala
Kategori Wanita Terbuka pula
dijuarai oleh Dayang Diana
Siew.
Sementara itu, juara bagi
Kategori Lelaki Veteran dan Wanita
Veteran pula masing-masing
disandang oleh Awang Guianus
Salagan dan Dayang Erin.
Hadir selaku tetamu kehormat
dan seterusnya menyempurnakan
sesi penyampaian hadiah kepada
para pemenang ialah Pemangku
Pegawai Daerah Tutong,
Awang Mohammad Sofian bin
Haji Basri.
Atur cara dimulai dengan bacaan
Doa Selamat dan Surah Al-Fatihah
yang dipimpin oleh Pengerusi
Bersama Beach Night Run,
Awang Md. Shahrol Redhwan
bin Haji Md. Yussof.
Acara kemudiannya diteruskan
dengan sesi pelepasan yang
bermula dan berakhir di kawasan
letak kereta di Pantai Persiaran
Pengkalan Pinang dengan
merentasi beberapa kawasan
kampung dengan jarak sejauh 22
kilometer untuk enam pusingan.
Menurut Awang Md. Shahrol
Redhwan, dengan pelaksanaan
acara larian sedemikian ia
sememangnya diharap mampu
membuka minda dan jiwa serta
semangat dalam melakukan
pelbagai aktiviti sukan dalam
hidup berkeluarga dan juga
bermasyarakat, di samping
mengeratkan jalinan persahabatan
dalam lingkungan penggiat sukan
larian di negara ini.
''Kebiasaannya kita melakukan
larian di kawasan bandar mahupun
pekan tetapi dengan diadakan
di kawasan kampung, ia juga
secara tidak langsung mampu
menjentik jiwa raga kita semua
untuk lebih menghargai keindahan
kampung. Dengan adanya
penglibatan peserta dari ketiga-tiga
daerah yang lain mahupun
negara luar pastinya ia juga
secara tidak langsung mampu
memperkenalkan tempat tarikan
yang dimiliki oleh kampung ini
khususnya bagi para pencinta
suasana pantai,'' ujarnya.
Beliau turut berkesempatan
merakamkan penghargaan
yang tidak terhingga kepada
penaja-penaja acara terdiri
daripada Aziz Latif Company,
Mashor Waste Management,
Sabli's Food Industry, Artesian
Fresh, SAP House, D'Sunlit
Sdn. Bhd., Zakepool dan
Dynamic Sport.
Acara turut dimeriahkan dengan
aktiviti berjalan santai dalam
kalangan penduduk kampung
setempat yang juga disokong
oleh Jabatan Daerah Tutong,
Jabatan Perkhidmatan Elektrik,
Jabatan Kerja Raya dan Pasukan
Polis Diraja Brunei.
Juga hadir, Ketua Kampung
Penanjong, Awang Muhammad
Ariffin bin Haji Akip.