Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

TAKLIMAT PENGUKUHAN MAQASID SYARIAH

Taklimat Pengukuhan Maqasid Syariah Dalam Pengurusan dan Pentadbiran Negara Brunei Darussalam kepada Penghulu-Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung bagi Daerah Tutong.jpg

TUTONG, 18 November 2023 – Dalam usaha untuk meneruskan lagi pemberigaan pengukuhan Maqasid Syariah dalam pengurusan dan pentadbiran Negara Brunei Darussalam kepada seluruh lapisan Masyarakat di Negara ini, Kementerian Hal Ehwal Ugama telah mengadakan sesi Taklimat Pengukuhan Maqasid Syariah untuk penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung bagi Daerah Tutong. 

Hadir selaku Tetamu Khas ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) Kementerian Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Ustaz Awang Haji Abdul Rajid bin Haji Md Salleh. Seramai 61 orang peserta terdiri daripada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampong di Daerah Tutong menghadiri taklimat tersebut bertempat di rumah kediaman rasmi Pegawai Daerah Tutong. Turut hadir ke sesi taklimat berkenaan ialah para pegawai dan kakitangan Jabatan Daerah Tutong. 

Taklimat disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Yang Mulia Dr. Awang Haji Noralizam bin Haji Aliakbar. Taklimat bertujuan antara lain untuk memberi pendedahan dan kefahaman awal mengenai Prinsip Maqasid Syariah. Selain itu, ianya bertujuan untuk mengetara dan mengukuhkan pelaksanaan Prinsip Maqasid Syariah dalam sistem pengurusan dan pentadbiran organisasi di samping memupuk kesedaran dan penghayatan Prinsip Maqasid Syariah dalam kehidupan berugama, beraja dan bernegara ke arah menjamin kesejahteraan dan keselamatan sosial serta kestabilan Negara.

Taklimat Pengukuhan Maqasid Syariah ini merupakan kesinambungan pelaksanaan projek strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama yang digariskan dalam Rancangan Strategik Kementerian Hal Ehwal Ugama 2020-2024.


Disediakan oleh: 
Unit Perhubungan Awam 
Jabatan Pengajian Islam 
Kementerian Hal Ehwal Ugama
Negara Brunei Darussalam


Rujukan: KHEU/BPA/PR548/NOVEMBER2023 

Tarikh: 04 Jamadilawal 1445H bersamaan 18 November 2023

Created at 16/12/2023 10:54 by Noraisah Binti Osman
Last modified at 16/12/2023 10:59 by Noraisah Binti Osman