TUTONG, Ahad, 19 November 2023 -
Hospital Pengiran Muda Mahkota
Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee
Billah (PMMPMHAMB) Tutong
telah mengadakan Acara
Larian Pantai di Pantai Seri
Kenangan bersempena
dengan Sambutan Jubli Perak
Perkhidmatan Ke-25 Tahun.
Hadir selaku tetamu kehormat
pada acara ini ialah Pemangku
Pegawai Daerah Tutong, Awang
Mohammad Sofian bin Haji Basri. Turut hadir selaku jemputan khas,
Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara,
Yang Berhormat Awang Haji
Mohamad Danial@Tekpin bin
Ya'akub dan Yang Berhormat
Awang Abdul Aziz bin Haji
Hamdan.
Majlis dimulakan dengan
pendaftaran para peserta dan
pelepasan Acara Larian Pantai 10
kilometer (km) pada jam 6.45 pagi,
diikuti dengan pelepasan peserta
Fun Run pada jam 7.00 pagi oleh
tetamu kehormat.
Seramai 250 peserta berdaftar
akan menyertai larian tersebut
yang dibahagikan kepada enam
kategori iaitu Lelaki Veteran;
Perempuan Veteran; Lelaki
Terbuka; Perempuan Terbuka;
Remaja Lelaki di bawah 19 tahun
dan Remaja Perempuan di bawah
19 tahun. Larian tersebut
sejauh 10km dan Fun Run
2.5km.
Antara tujuan acara ini diadakan
adalah bagi sama-sama memupuk
kesedaran masyarakat mengenai
kepentingan melakukan kegiatan
fizikal dan mengamalkan gaya
hidup sihat di samping memberikan
persaingan sihat di antara para
peserta.
Dalam masa yang sama,
Hospital PMMPMHAMB, Tutong
juga telah mengadakan Acara
Perkhemahan Keluarga yang
dibukakan kepada warga kerja
hospital berkenaan yang telah
bermula dari 17 November hingga
19 November 2023 dan juga
mengambil tempat di Pantai Seri
Kenangan.
Lebih 50 warga kerja hospital
berkenaan berserta keluarga
mereka menyertai acara tersebut
dan ini adalah merupakan kali
pertama ia diadakan dan
merupakan sebagai satu aktiviti
bersempena dengan Sambutan
Jubli Perak hospital berkenaan.
Acara ini memberikan
pengalaman dan aktiviti luar masa
bekerja kepada para peserta selain
memupuk semangat berpasukan
dan bekerjasama dalam
mengendalikan acara
kekeluargaan serta berkongsi
minat yang sama dari dalam
kalangan para peserta
perkhemahan.