Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

KEMPEN KEBERSIHAN DI BAWAH JAWATANKUASA INDUK ISU-ISU KEBERSIHAN

Kempen kebersihan di bawah jawatankuasa induk isu-isu kebersihan.png

​TUTONG, 4 Julai 2024 - Kempen kebersihan di bawah Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan (JIIK) telah diadakan pada hari Khamis, 4 Julai 2024 bermula dari kawasan Pantai Seri Kenangan hingga ke Simpang 281 dan juga di Kampung Penabai.

Sebagai salah satu inisiatif dan usaha Jabatan dalam menjaga kebersihan dan keselamatan orang awam, kempen ini memfokuskan pada sampah sarap, rumput-rumput panjang yang terbiar, longkang-longkang yang kotor dan tersumbat dan pokok-pokok yang perlu ditebang.

Kempen kebersihan ini dikendalikan oleh Jabatan Daerah Tutong dan diketuai oleh Yang Mulia Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri, Pemangku Pegawai Daerah Tutong bersama Pemimpin akar umbi beserta Majlis Perundingan Mukim Pekan Tutong, Majlis Perundingan Kampung Sengkarai, Majlis Perundingan Kampung Penabai, Ketua-Ketua Bahagian dan Unit di Jabatan Daerah Tutong.

Sebanyak 237 kilogram sampah telah dikumpul semasa Kempen Kebersihan di bawah Jawatankuasa Induk Isu-Isu Kebersihan yang diadakan di kawasan Pantai Seri Kenangan sehingga Kampung Penabai, Tutong.

Orang ramai juga adalah dinasihatkan untuk sama-sama menjaga kebersihan bukan saja di tempat-tempat awam tetapi juga di kediaman masing-masing.

Sesiapa yang didapati melakukan kesalahan membuang sampah dan kotoran di tempat awam boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian 2021 iaitu mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah bab ini, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang BND1,000 dan tidak melebihi BND3,000 bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda tidak kurang BND3,000 dan tidak melebihi BND9,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Manakala badan-badan korporat yang melakukan kesalahan pertama di bawah bab ini boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari BND2,000 dan tidak melebihi BND10,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang dari BND10,000 dan tidak melebihi BND30,000, dihukum penjara bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan atau kedua-duanya sekali.

Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Jabatan Daerah Tutong (BPPJDT) akan berterusan untuk memastikan penguatkuasaan Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian Pindaan 2021 Penggal 30 sentiasa dipatuhi oleh individu dan syarikat-syarikat dari masa ke semasa. BPPJDT mengingatkan mana-mana individu dan badan-badan korporat untuk sama-sama menjaga kebersihan dan untuk tidak membuang sampah di mana-mana 
tempat awam dan mana-mana akses bangunan tempat laluan orang awam dan Jabatan Daerah Tutong tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan jika didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Rampaian 
2021.



Created at 04/07/2024 16:17 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar
Last modified at 04/07/2024 16:17 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar