Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

MAJLIS SAMBUTAN ILAL HIJRAH 1446

Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1446 Peringkat Daerah Tutong.png

TUTONG, 6 JULAI 2024 -  Negara Brunei Darussalam menyambut ketibaan Awal Tahun 1446 Hijrah dengan Sambutan Ilal Hijrah bagi memperingati peristiwa Hijrah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari Mekah Al-Mukarramah ke Madinah Al-Munawwarah, yang diadakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat seluruh negara.

Sehubungan itu, tumpuan utama majlis berkenaan di daerah ini ialah di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong yang dihadiri oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku tetamu kehormat majlis.

Antara pengisian utama acara adalah bacaan zikir dan Doa Akhir Tahun Hijrah dipimpin oleh Ketua Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Mohd. Waiz bin Tajuddin.

Sejurus itu, Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah diimamkan oleh Imam Masjid Hassanal Bolkiah, Awang Sahibol Omar bin Haji Mohd. Yusof, yang kemudian turut mengepalai bacaan Doa Awal Tahun Hijrah.

Atur cara majlis juga diisikan dengan Sembahyang Sunat Ba’diah dan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah serta bacaan Doa Selamat bagi memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar Negara Brunei Darussalam sentiasa beroleh keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan serta terhindar daripada segala wabak penyakit dan bala bencana.

Tema bagi Sambutan Ilal Hijrah 1446 tahun ini ialah ‘Memelihara Akal, Masyarakat Sejahtera'.

Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Tutong, Jabatan Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Awang Mohammad Sofian bin Haji Basri; dan Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, 

Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Azman bin Haji Musa.

Juga hadir, penghulu dan ketua-ketua kampung, ketuaketua cawangan setiap jabatan di Daerah Tutong serta para pegawai dan kakitangan kerajaan dan juga penduduk sekitar.


Created at 09/07/2024 10:48 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar
Last modified at 09/07/2024 10:48 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar