TUTONG, 23 JULAI 2024 - Segenap lapisan rakyat dan penduduk di daerah ini sejak awal pagi lagi sudah membanjiri Kompleks Dewan Kemasyarakatan, menantikan keberangkatan tiba raja yang dikasihi bagi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-78 Tahun.
Daerah Tutong merupakan daerah yang pertama bagi sesi Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk di negara ini yang tetap menjadi ristaan sepanjang zaman.
Di tepi-tepi jalan bermula dari kawasan Helipad di Sungai Basong menuju ke Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, muridmurid sekolah Arab, rendah dan menengah kerajaan juga swasta berbaris memegang bendera kecil Negara Brunei Darussalam untuk mengalu-alukan keberangkatan baginda dan kerabat diraja sambil mengibarkan bendera tersebut serta melambaikan tangan mereka sambil terpancar kegembiraan di wajah mereka.
Di jalan masuk Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan pula, paluan hadrah bergema sebaik sahaja baginda berserta kerabat diraja berangkat tiba. Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berserta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar; Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh dan Pemangku Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan selaku Pengerusi-pengerusi Bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan.
Berangkat sama paduka-paduka anakanda dan adinda Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di JPM; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Sejurus keberangkatan tiba, Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' dikumandangkan yang diiringi oleh Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.
Majlis diteruskan dengan Persembahan Khas bertemakan 'Raja Berdaulat Kesayangan Rakyat' daripada 340 orang terdiri daripada para pelajar sekolah rendah dan menengah kerajaan dan swasta serta turut diterajui oleh kumpulan belia dan penggiatpenggiat seni kreatif tanah air yang berkonsepkan ‘Muzikal Drama’.
Seterusnya baginda berserta kerabat diraja dijunjung berangkat ke pentas Persembahan Khas untuk sesi bergambar ramai bersama para peserta dan kemudian berkenan beramah mesra bersama rakyat serta penduduk.
Antara yang menyertai Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong ialah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, penuntut-penuntut sekolah, Perkhidmatan Awam, mukim-mukim di Daerah Tutong iaitu Mukim Ukong, Mukim Lamunin, Mukim Telisai, Mukim Tanjong Maya, Mukim Pekan Tutong, Mukim Keriam, Mukim Kiudang, Mukim Rambai.
Turut menyertai ialah masyarakat dan Dewan Perniagaan Tionghua; masyarakat dan Dewan Perniagaan India, syarikat-syarikat telekomunikasi, bank-bank, PAKATAN, anak-anak istimewa, Pusat Kegiatan Warga Emas, persatuan dan kumpulan belia.
Pada Majlis Junjung Ziarah itu, Kebawah DYMM juga berkenan menerima beberapa pesambah yang disembahkan khas sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan baginda Ke-78 Tahun. Kemudian Kebawah DYMM berserta kerabat diraja dijunjung berangkat bagi Majlis Santap di Dewan Persantapan di Dewan Utama, Kompleks Dewan Kemasyarakatan.
Baginda disembahkenalkan kepada empat individu yang memberikan sumbangan signifikan kepada negara iaitu Pengurus Lamin Warisan, Dayang Nornaqibah binti Abdul Hamid; Pegawai Pendidikan, Sekolah Rendah Pengiran Kesuma Negara Bukit Beruang, Awang Mohd. Amir Irwan bin Haji Moksin; Pemilik The Ruman Co., Pengiran Muhammad Aqil bin Pengiran Jaya dan Pegawai Pendidikan Ugama, Ma’had Islam Brunei, Awang Haji Mohd. Zuwaini bin Haji Aliyani.
Doa Selamat kemudian dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Tutong, Awang Haji Kaharuddin bin Haji Ali.
Pada majlis itu, Kebawah DYMM juga berkenan memotong Kek Hari Keputeraan baginda Ke-78 Tahun. Sebelum berangkat balik meninggalkan Dewan Persantapan Dewan Utama, Kebawah DYMM berserta kerabat diraja berkenan menerima junjung ziarah daripada Ahli ahli Jawatankuasa Tertinggi dan jemputan-jemputan khas.