Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita Terkini

PESTA PERAYAAN PEKAN TUTONG 2024

Pesta Perayaan Pekan Tutong 2024.png

TUTONG, 3 OGOS 2024 - Pesta Perayaan Pekan Tutong 2024 diadakan bertempat di Kawasan Jalan Enche Awang dan Jeti Pekan Tutong. 

Acara berkenaan dianjurkan bersama oleh Jabatan Bandaran Tutong, Jabatan Daerah Tutong dan Badan Kemajuan dan Kreatif Daerah Tutong dengan kerjasama Sukarelawan Daerah Tutong serta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Yang Ke-78 Tahun.

​Hadir selaku Tetamu Kehormat di acara tersebut ialah Yang Mulia, DatoSeri Paduka Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Mohd. Hanifah, TimbalanMenteri (Tenaga) di Jabatan Perdana Menteri dan Datin.​

Acara dimulakan dengan Perarakan Kebudayaan, Kemasyarakatan dan Sukarelawan yang disertai oleh lebih 300 orang peserta yang terdiri daripada peserta-peserta Persembahan Khas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Daerah Tutong, Puak-Puak dan Masyarakat Daerah Tutong, belia-belia danSukarelawan Daerah Tutong serta Pasukan Serunai dan Tambur Jabatan Penjara.

Selain itu, perarakan juga dimeriahkan lagi dengan Pertandingan basikal bercucul dan berhias yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan MukimTelisai.

Turut disediakan ialah aktiviti Zon aktif yang menyediakan pelbagai aktiviti untuk kanak-kanak, Jualan Bazar dan Perkhidmatan River Cruise menyusur Sungai Tutong.

Acara kemuncak ialah pertunjukan bunga api bertempat di Mercu Tanda Sungai Tutong.

Pesta Perayaan Pekan Tutong 2024 adalah sebagai wadah untuk memberi penghargaan kepada pihak-pihak yang terlibat di dalam menjayakan acara- acara sambutan perayaan di Daerah Tutong termasuklah para peserta persembahan khas semasa Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat Daerah Tutong yang terdiri daripada penuntut-penuntut sekolah, belia-belia dan para penggiat seni tanah air.

Ianya juga menyediakan peluang kepada orang ramai khususnya para ibu bapa penuntut-penuntut sekolah yang menyertai persembahan khas bagi menyaksikan beberapa aktiviti kemasyarakatan melalui persembahan, perarakan, sosial masyarakat, kebudayaan, pelancongan dan sukarelawan.

Selain itu, ianya juga dapat memacu aktiviti perekonomian kepada peniaga Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuklah para pengusaha Satu Kampung Satu Produk (1K1P) serta merangsang kemajuan Pekan Tutong sebagai Pusat Perniagaan yang strategik dan menarik.

Hadir sama di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Penghulu-Penghulu Mukim dan Pemangku Penghulu-Penghulu Mukim.


Created at 05/08/2024 10:58 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar
Last modified at 05/08/2024 10:58 by Hj Astri Azrin Bin Hj Andy Azhar