TUTONG, Ahad 8 September 2024 - Aktiviti gotong royong semukim kelolaan Majlis Perundingan Mukim Tanjong Maya dengan sokongan MPK Tanjong Maya & Lubok Pulau, MPK Bukit Udal & Penapar, anggota Polis Daerah Tutong (Pengawasan Kejiranan) serta para penduduk-penduduk mukim dan kampung telah diadakan di kawasan tapak pembuangan sampah Mukim Tanjong Maya iaitu bagi membersihkan semak samun yang menghalang pandangan pengguna jalan raya untuk keluar masuk di simpang jalan tersebut.
Turut hadir dalam kerja gotong royong tersebut ialah Ketua Kampung Tanjong Maya dan Lubok Pulau dan Pemangku Ketua Kampung Bukit Udal dan Penapar.
Ada pun objektif perlaksanaan aktiviti tersebut adalah bagi mengeratkan hubungan silaturrahim sesama ahli MPM, MPK, penduduk Mukim khususnya penduduk-penduduk Mukim Tanjong Maya.
Aktiviti ini akan dijalankan secara rutin sebagai acara bulanan di kesemua Kampung-kampung di bawah Mukim Tanjong Maya pada tempat-tempat awam yang memerlukan pembersihan.